PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu mengadakan sekurang-kurangnya satu aksi pemanas badan Tier A sebagai ujian sebelum menghadapi Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, perlawanan persahabatan atau aksi ujian adalah elemen penting dalam persiapan sesebuah pasukan, apatah lagi menjelang aksi kompetitif berintensiti tinggi.
“Bila-bila pun kita nak bertanding, kita perlukan perlawanan ujian untuk memanaskan badan. Kalau kita tak adakan langsung aksi persahabatan, ia seolah-olah kita sudah mengalah sebelum turun berjuang.
“Jadi pada saya, memang perlu sekurang-kurangnya satu perlawanan sebelum bertemu Vietnam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas cadangan agar skuad negara menguji pasukan ‘top tier’ Asia, Dr. Zulakbal berpandangan pendekatan itu perlu dinilai secara realistik.
Katanya, bukan sahaja sukar untuk mendapatkan pasukan elit Asia sebagai lawan, malah pertemuan dengan gergasi benua boleh memberi kesan negatif terhadap psikologi pemain sekiranya keputusan tidak memihak kepada negara.
“Saya lebih cenderung kita bertemu pasukan yang setara dengan kita dan memiliki ciri permainan seperti Vietnam yang memiliki pemain kecil, laju, berkemahiran tinggi dan gemar melakukan provokasi.
“Pendedahan kepada corak permainan sebegini lebih praktikal berbanding bertemu kuasa besar seperti Korea Selatan atau Jepun,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan beberapa pasukan Asia Tenggara seperti Kemboja dan Laos yang mempunyai ciri hampir sama dengan Vietnam sebagai alternatif terbaik.
Dalam masa sama, Zulakbal tidak menolak kemungkinan aksi persahabatan menentang Indonesia yang dianggap seteru tradisi negara.
“Lawan Indonesia memang sentiasa beri tentangan sengit. Ia satu pilihan yang baik dan kompetitif,” jelasnya.
Untuk rekod, skuad kendalian Peter Cklamovski mencatatkan lima kemenangan tanpa tewas di Kumpulan F untuk kekal unggul di kedudukan pertama dengan 15 mata. – UTUSAN










