ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menyangkal dakwaan bahawa tindakan melantik perunding pelaburan dalam usaha menarik pelaburan asing masuk ke negeri ini sebagai membazir dan membuang masa.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pelantikan perunding pelaburan itu adalah selari dengan saranan oleh sebuah jawatankuasa ekonomi yang dianggotai tokoh ekonomi negara iaitu Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC).
Katanya, usaha Johor melantik perunding pelaburan yang terdiri daripada bekas duta ke Singapura dan China selain perunding antarabangsa berpengalaman luas untuk memberi fokus menarik pelabur dari China serta negara Asia Tengah yang lain.
Jelasnya, langkah tersebut tidak bermakna mengenepikan usaha dibuat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain agensi pelaburan Johor termasuk Johor Invest.
“Johor berpendapat kita tidak perlu bergantung pada inisiatif, pelan atau rancangan pelaburan negara yang sedia ada semata-mata, namun perlu menggunakan kekuatan dan usaha sendiri.
“Dunia masih terkesan akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan iklim pelaburan sudah berubah. Justeru, kerajaan negeri perlu ada rujukan, pandangan dan kajian awal pelaburan lebih rapi dibuat.
“Oleh itu, langkah melantik perunding pelaburan khas negeri ini sebenarnya bertujuan meningkatkan potensi pelaburan Johor bagi menarik minat pelabur asing melabur di negeri ini. Saya yakin ia tidak bazirkan dana kerajaan negeri dan membuang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini hari ini.
Dzulkefly ingin tahu rasional kerajaan negeri menggunakan perunding pelaburan bagi menarik pelabur luar sedangkan Johor mempunyai agensi pelaburan termasuk Johor Invest selain Exco Pelaburan yang dilantik.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, beliau dan Exco Pelaburan Negeri akan bersama-sama perunding pelaburan mengadakan pertemuan dengan pelabur luar bagi meningkatkan kemasukan pelaburan asing.
“Saya amat yakin dengan saranan diberikan IJEC akan membantu Johor untuk memulihkan ekonomi negeri terutama dalam membawa masuk pelaburan baharu,” katanya. – UTUSAN









