KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Anzalna Nasir meluahkan pandangan mengenai sikap sombong segelintir individu termasuk dalam kalangan selebriti yang disifatkannya tidak membawa sebarang manfaat.
Menurut Anzalna, sejak kebelakangan ini dia kerap terbaca mengenai isu membabitkan artis yang dikatakan bersikap angkuh dan sukar didekati.
Bagaimanapun, Anzalna menegaskan sifat sedemikian bukan hanya terhad kepada golongan selebriti semata-mata.
Katanya, sesiapa sahaja boleh bersikap sombong jika gagal meletakkan diri pada tempat yang sepatutnya.
“Sejak kebelakangan ini, saya sering terbaca mengenai artis yang sombong, tetapi bukan artis sahaja, sesiapa pun boleh menjadi seperti itu.
“Kadang-kadang saya terfikir juga, apa gunanya bersikap angkuh? Jika merasakan diri kaya, akan sentiasa ada yang lebih kaya.
“Jika merasakan diri cantik, ada lagi yang lebih cantik. Jika merasakan diri pandai, ada yang lebih bijak,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Pelakon ini turut mengingatkan bahawa kehidupan sentiasa berputar dan tiada siapa yang kekal berada di atas, justeru sifat rendah diri wajar diamalkan oleh semua.
Dalam masa sama, Anzalna mengakui dia juga mempunyai batas kesabaran apabila berdepan individu yang berterusan menunjukkan sikap dingin dan sombong walaupun sudah beberapa kali bertemu.
“Kalau seseorang bersikap sombong dengan saya walaupun sudah 10 kali berjumpa, mungkin saya juga akan membalas dengan cara yang sama,” katanya lagi.
Perkongsian itu pantas meraih perhatian warganet yang rata-rata bersetuju dengan pendapat dilontarkan pelakon berkenaan, selain menyifatkan sikap merendah diri sebagai kunci untuk terus dihormati ramai.









