Isu Surau Taman Seraya: Nama suspek diletak dalam Senarai Pekeliling Khas

Isu Surau Taman Seraya: Nama suspek diletak dalam Senarai Pekeliling Khas

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima obor larian sambil diiringi Shazeli Kahar pada Program Larian Diraja Selangor Bersama PDRM dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall, Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Individu yang dipercayai terlibat dengan kes kacau ganggu terhadap Surau Taman Seraya, Ampang dekat sini diletakkan dalam Senarai Pekeliling Khas bagi menghalangnya ke keluar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan itu dilakukan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima laporan dibuat ahli jawatankuasa (AJK) surau berkaitan satu petisyen yang berlegar di kawasan tersebut.

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rakaman percakapan telah diambil melibatkan AJK-AJK surau dan juga penduduk-penduduk komuniti di kawasan tersebut, selain satu laporan daripada pejabat ahli majlis.

“Setakat ini, suspek masih belum ditangkap tetapi telah dibuat Senarai Pekeliling Khas untuk memastikan dia tidak terlepas keluar dari Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Program Larian Diraja Selangor Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall di sini, hari ini.

Sebelum ini, AJK Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkaitan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman berkata, laporan dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah terhadap surau berkenaan.

Antara perkara dibangkitkan dakwaan bahawa laungan azan yang berkumandang mengganggu suspek, dan meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu trafik.

Shazeli berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan penghuni perumahan itu.

“Siasatan masih belum lengkap. Jadi, kita sedang meneliti motif sebenarnya. Beri kami peluang untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai yang mengetahui keberadaan suspek diminta menghubungi IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

Tegasnya, orang ramai perlu mengelak memberi komen atau kenyataan yang boleh membawa kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Kita hendaklah menjaga keharmonian. Saya menyeru kepada semua untuk mengawal emosi kita dalam membuat sebarang tindakan dan juga kenyataan supaya tidak mengguris dan boleh membuat satu kesalahan Akta Hasutan atau pun lain-lain kesalahan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini