Hari pertama VTL, lebih 1,300 penumpang laluan udara tiba di KLIA, klia2 

Hari pertama VTL, lebih 1,300 penumpang laluan udara tiba di KLIA, klia2 

PELANCONG dari Singapura menaiki pesawat Singapore Airlines SQ108 menerusi VTL Udara tiba di KLIA. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hari pertama urusan ketibaan penumpang dari Singapura bagi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di sini semalam berjalan lancar.

Ketibaan pesawat pertama melibatkan 240 penumpang menggunakan pesawat Singapore Airlines (SQ108) tiba di KLIA pukul 9.20 pagi, seterusnya mereka melalui beberapa proses seperti saringan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan keluar.

Secara keseluruhan, sebanyak enam pesawat terdiri daripada Singapore Airlines, Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air, Jetstar Asia dan Scoot membawa lebih 1,300 penumpang dari Singapura tiba di KLIA dan klia2 pada hari pertama pelaksanaan VTL. 

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, urusan perjalanan melibatkan penumpang bagi pelaksanaan VTL semalam berjalan lancar sekali gus MAHB sentiasa bersedia menerima lebih ramai lagi kedatangan di masa akan datang.   

“Saya melihat dari segi proses ia dilaksanakan begitu baik seperti yang telah dirancang. Ini merupakan penerbangan bersejarah kerana selama ini kita tahu antara Singapura dengan Kuala Lumpur, ia sektor paling sibuk di dunia. 

“Hari ini (semalam) kita dapat menyaksikan semula penerbangan dapat dilakukan dan jumlah penumpang juga begitu besar. Kita berharap penumpang berpuas hati dengan laluan dan proses yang perlu dilalui,” katanya pada sidang akhbar ketibaan pesawat Singapore Airlines (SQ108) di KLIA, di sini hari ini. 

Hadir sama, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Zainuddin Abdul Wahab.  

Dalam pada itu, Zambry berkata, MAHB bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan yang berkaitan sejak beberapa minggu lalu berhubung persediaan proses dan urusan melibatkan penumpang di bawah pelaksanaan VTL tersebut. 

“Seperti sedia maklum, ada peraturan yang perlu dipatuhi termasuk menjalani ujian saringan terlebih dahulu. Jadi persediaan turut dijalankan bagi memastikan ia berjalan lancar. 

“Kita sentiasa bersiap sedia menerima kedatangan pelancong dan penumpang dari serata dunia. Kita sedia maklum, KLIA salah satu lapangan terbang terkenal dan terkini, kita terbaik dari segi pengurusan,” katanya. 

Ditanya mengenai kewujudan varian baharu Omicron dari Afrika Selatan, Zambry berkata, perkara tersebut turut menjadi perhatian pihak MAHB selaku pengendali lapangan terbang di negara ini. 

“Kita belum menerima sebarang arahan daripada pihak kementerian serta berharap dapat bekerjasama rapat termasuk dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyebaran varian baharu di Malaysia. 

“Buat masa ini, kita ada menerima ketibaan penerbangan dari pelbagai negara iaitu kira-kira 24 atau 25 pesawat setiap hari. Dengan varian baharu ini, kita akan lihat semula serta menunggu arahan dari kementerian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN