Harga RTK antigen turun 87.7% antara kejayaan KPDNHEP - Utusan Malaysia

Harga RTK antigen turun 87.7% antara kejayaan KPDNHEP

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengurangan sebanyak 87.7 peratus bagi harga RTK antigen kendiri yang kini  diperoleh serendah RM4.90 berbanding harga asal RM39.90 sewaktu mula dijual di pasaran, antara kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Dalam tempoh kurang dua bulan, harga RTK antigen merekodkan penurunan dua kali sejak harga siling dikuatkuasakan September lalu, iaitu selepas rundingan dan kerjasama antara KPDNHEP serta pengusaha perniagaan. 

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan tersebut selaras AKM yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan satu daripada tiga indeks petunjuk prestasi (KPI) kementerian berkenaan. 

“Selari usaha ke arah membuka lebih banyak sektor ekonomi, kerajaan menggalakkan saringan kendiri dalam kalangan komuniti. Beberapa langkah strategik, termasuk memperluas penjualan kit (RTK) antigen kepada rangkaian premis peruncitan dan penetapan harga siling  dilaksanakan.

“Penetapan harga siling RTK antigen pada paras RM19.90 seunit pada asalnya dijadual berkuat kuasa 5 September, namun mendengar keluhan peniaga yang sudah membuat perolehan dengan harga bekalan berkadar tinggi secara lebih awal, kerajaan bersetuju memberi tempoh lanjutan penguatkuasaan selama seminggu,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

  Katanya, cakna dengan keluhan pengguna terutama dalam kalangan B40 dan M40, kerajaan menerusi KPDNHEP bertekad  melipatgandakan usaha supaya harga RTK antigen dikurangkan lagi dan mampu dimiliki oleh semua ahli Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, menghampiri 100 hari menerajui pentadbiran KPDNHEP, tiga KPI yang digariskan oleh kementerian sudah melakar pencapaian 100 peratus.

 “Tiga KPI itu adalah melibatkan isu berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 masing-masing di bawah bidang kuasa KPDNHEP, menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen dan memastikan kemampanan industri francais.

“Melangkah ke hadapan, fokus kementerian seterusnya adalah memastikan harga barangan keperluan asas yang ketika ini mencatatkan peningkatan, dapat distabilkan menerusi mekanisme tertentu,” jelasnya.

Sementara itu, dalam satu temuramah malam tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengulas tentang isu kenaikan barangan seperti sayur, ayam dan telur berkata, susulan perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) serta pihak berkepentingan berkaitan, usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong sudah dirangka. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN