BAGAN DATUK: Air pasang besar yang menyebabkan banjir kilat di Kampung Bagan Ikan di sini kelmarin mengakibatkan banyak peralatan rumah penduduk rosak terkena lumpur.
Seorang penduduk, Zaleha Abdul Rahman, 63, berkata, banjir yang melanda kediamannya berikutan fenomena air pasang besar menyebabkan dia tidak sempat memindahkan peralatan rumah ke tempat selamat.
Katanya, peralatan rumah seperti perabot, tikar, peti sejuk dan beberapa peralatan lain terkena lumpur sungai yang dibawa air akibat fenomena air pasang besar.
“Peti sejuk di rumah saya baru sahaja dibelikan oleh anak pada bulan lepas, rosak kerana terkena lumpur banjir.
“Kalau hantar untuk dibaiki, tak tahu berapa pula saya kena bayar.
“Lain-lain peralatan dapur kebanyakannya tidak boleh digunakan lagi akibat terkena lumpur air sungai ketika rumah dinaiki air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menceritakan banjir kilat yang disebabkan air pasang besar di kampungnya, Zaleha berkata, dia menyedari rumahnya dimasuki air kira-kira pukul 5.30 pagi.
Katanya, dia tersedar dari tidur apabila bekalan elektrik di rumahnya terputus secara tiba-tiba.
“Keadaan itu menyebabkan saya terjaga daripada tidur dan amat terkejut apabila air sudah memasuki rumah sehingga paras lutut.
“Air yang naik terlalu cepat menyebabkan saya tidak sempat memindahkan peralatan rumah ke tempat yang selamat,” katanya.
Zaleha menyifatkan fenomena air pasang besar kali ini paling teruk pernah dialaminya.
“Melihatkan banjir berikutan air pasang besar, saya rasa trauma kerana kampung ini pernah dinaiki air semasa banjir pada 2014 dan 2008.
“Memang saya tidak menyangka air pasang besar kali ini menyebabkan air naik begitu tinggi,” katanya.










