Harapan keirin,pecut negara terkubur di Hong Kong

Harapan keirin,pecut negara terkubur di Hong Kong

NURUL Izzah Izzati tidak berjaya mencipta kejutan dalam acara pecut individu di Siri Piala Dunia Trek di Hong Kong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian skuad berbasikal trek negara untuk mencipta impak di Siri Piala Dunia Trek di Hong Kong lebur lebih awal apabila cabaran dalam acara keirin lelaki dan pecut individu wanita terhenti di pusingan pertama.

Aksi yang diharapkan daripada gandingan adik-beradik, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom tidak menjadi kenyataan apabila kedua-duanya gagal melepasi halangan awal, termasuk terkandas di pusingan repechage.

Lebih malang buat Ridwan, pelumba berpengalaman itu tidak sempat menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam insiden kemalangan ketika bersaing dalam saringan keempat repechage, sekali gus menutup peluangnya untuk mara lebih jauh.

Shah Firdaus pula sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam saringan kelima, di belakang pelumba Colombia, Kevin Quintero dan pelumba Kanada Nick Wammes, sekali gus menyaksikan langkahnya turut terhenti.

Namun, prestasi itu tidak mengejutkan memandangkan beliau baru kembali beraksi selepas lebih setahun berehat akibat kecederaan.

Di kem wanita, situasi tidak banyak berbeza apabila Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Mohd. Farid turut kempunan mencipta kejutan dalam acara pecut individu.

Izzah yang berdepan pelumba Mexico, Yuli Verdugo pada saringan kelapan terpaksa akur dengan kekalahan tipis, hanya dipisahkan 0.081 saat.

Alyssa pula turut tersungkur di pusingan pertama dengan jurang 0.113 saat ketika menentang wakil Amerika Syarikat, Hayley Yoslov.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN