Dugaan awal bakal pengantin, tiba awal pagi, pegawai hanya proses 80 permohonan setiap hari - Utusan Malaysia

Dugaan awal bakal pengantin, tiba awal pagi, pegawai hanya proses 80 permohonan setiap hari

SEBAHAGIAN pemohon yang mendakwa menunggu di pintu masuk sejak pukul 6 pagi untuk menghantar borang permohonan kebenaran bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Klang di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: ‘Terpacak’ di hadapan pintu pejabat agama Islam seawal pukul 6 pagi, itulah antara cabaran awal bagi bakal pasangan pengantin di Selangor yang mahu mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.

Mereka perlu hadir seawal itu untuk mendapatkan nombor giliran bagi menghantar borang permohonan kebenaran berkahwin ke pejabat agama Islam daerah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum mereka dibenarkan bernikah.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini, di Pejabat Aga­ma Islam Daerah Petaling di sini, seramai 30 orang sudah pun menunggu di hadapan pintu masuk kaunter pendaftaran seawal pukul 7 pagi bagi berurusan di sana.

Sementara di Pejabat Agama Islam Daerah Klang pula, hampir 20 orang sudah pun beratur di hadapan pintu pagar pejabat berkenaan dan ada pemohon yang menunggu sejak pukul 6 pagi di sana.

Malah, menurut seorang pe­mohon, Zubaidah Mohd. Sufi­an, 33, ruangan menunggu di pejabat agama di Shah Alam itu sudah pun dihadiri lebih 10 pemohon lain ketika dia tiba di sana pada pukul 6.15 pagi selepas keluar dari rumahnya di Puchong pada 5.30 pagi.

“Saya ingat pukul 6.15 pagi itu sudah dikira awal sebab pernah datang pada petang Jumaat lepas untuk hantar borang permohonan kebenaran berkahwin, tetapi dimaklumkan oleh pegawai mereka tidak lagi menerima borang pada waktu itu.

“Justeru, pegawai berkenaan menasihatkan saya datang seawal pukul 6 pagi untuk mendapatkan nombor giliran sahaja kerana sehari mereka memberitahu boleh menerima 80 permohonan sahaja. Tetapi sampai awal pada waktu itu pun sudah lebih 10 orang yang menunggu,” katanya ketika ditemui.

Turut sampai pada waktu sama, Balkis Abbas, 21, juga dari Puchong apabila memberitahu pernah cuba untuk membuat temu janji sebelum kehadiran secara datang terus ke kaunter dibenarkan ketika Selangor dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, namun sentiasa penuh.

“Saya nikah pada 12 Disember nanti, tetapi sebelum ini pernah cuba untuk selesaikan permohonan kebenaran bernikah awal sebab risau kalau ada dokumen tidak lengkap dan kena datang dua tiga kali ke pejabat agama.

“Tetapi semua tarikh janji temu penuh, mujur sekarang sudah boleh walk-in ke kaunter, cuma kena datang awal pagi. Tetapi saya bimbang juga urusan tak boleh selesai hari ini kerana jurunikah di kawasan rumah sudah tamat tauliah,” luahnya.

Di Klang pula, Mohamad Amirul, 24 dari Kapar memberi­tahu, dia perlu keluar rumah seawal pukul 4.30 pagi kerana pejabat agama di Klang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumah berbanding pejabat di Kuala Selangor.

“Pernah saya pergi ke pejabat di Kuala Selangor, tetapi diarah­kan pergi ke Klang kerana rumah dalam daerah itu. Kemudian pada dua minggu lalu saya datang ke sana pada pukul 8.30 pagi, tetapi ketika itu sudah ada hampir 100 orang menunggu.

Sementara itu, Nasrul Izam, 23, yang turut menunggu di tempat sama memberitahu, situasi orang beratur panjang di sana biasa dilihatnya sejak akhir-akhir ini, malah barisannya panjang hingga ke bahagian belakang bangunan.

Benarkan hantar permohonan dalam talian

Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diharap membenarkan penghantaran permohonan kebenaran berkahwin dibuat secara dalam talian bagi memudahkan pemohon tanpa perlu tiba awal pagi dan beratur panjang di pejabat agama.

Saranan itu disuarakan ke­rana terdapat pemohon mendakwa terpaksa mengambil cuti untuk hadir ke pejabat agama malah ada yang terpaksa datang kembali dan menghantar borang lagi sekali kerana dokumen disertakan tidak lengkap.

Menurut Zubaidah Mohd. Sufian, 33, situasi menunggu pada waktu awal pagi dan berulang alik ke pejabat agama boleh dielakkan jika permohonan dan penghantaran dokumen boleh dibuat secara dalam talian.

 

“Untuk pengesahan, mung­kin pegawai boleh memanggil pemohon untuk menunjukkan dokumen asal ke pejabat untuk semakan. Tidak perlu panggil semua pemohon, mungkin perlu panggil mereka sekiranya ter­dapat dokumen yang me­ra­gukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Nuriylia Nordin, 27, memberitahu dia terpaksa hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Klang sebanyak dua kali pada Jumaat lalu kerana dokumennya tidak lengkap dan perlu ditandatangan oleh pegawai disenaraikan sahaja.

“Mujur rumah saya dekat di Kampung Sungai Kandis, cuma saya ada masalah dokumen yang ditandatangan oleh imam masjid, sedangkan ia perlu ditandatangan oleh pengerusi masjid. Terpaksa hantar semula, sudahlah beratur sejak pukul 6.30 pagi.

“Kemudian, ada satu sijil nikah ibu bapa dalam syarat cuma kata salinan, tetapi bila tiba di pejabat tak tahu pula kena bawa sijil asal, itu pun agak menyukarkan. Walau bagaimanapun, mujur saya dibenarkan hantar semula semua dokumen dalam hari sama sebelum pukul 4 petang,” katanya.

Sesak hingga hujung tahun ini – JAIS

Isu bottleneck yang perlu dihadapi oleh pemohon kebenaran bernikah di Se­langor dijangka berlarutan sehingga hujung tahun ini ber­iku­tan terdapat permohonan tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah pe­mohon dijangkakan masih ber­ada pada sekitar 22,000 se­perti tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda, namun disebabkan permohonan tertangguh peningkatan permohonan sehingga Disember ini.

Malah, terdapat empat pejabat agama Islam daerah di negeri ini sedang mengalami peningkatan permohonan iaitu di Gombak, Petaling, Klang dan Hulu Langat.

Perkara itu dimaklumkan Pe­ngarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad yang menjelaskan, permohonan kebenaran berkahwin secara terus di kaunter setiap hari meningkat kepada 80 hingga 100 berbanding hari biasa.

MOHD. SHAHZIHAN AHMAD 

“Peningkatan itu sudah dijangka selepas banyak permohonan tertangguh ketika PKP. Jika sebelum ini, kebiasaan permohonan diterima adalah sekitar 50 sahaja, walau bagaimanapun 80 hingga 100 permohonan itu adalah had dan bebanan kerja boleh ditampung pegawai setiap hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengenai saranan orang ramai supaya JAIS membenarkan permohonan kebenaran ber­kah­win dihantar secara dalam talian, Mohd. Shahzihan berkata, ia memang dalam pertimbangan JAIS tetapi beliau mahukan satu sistem dalam talian sepenuhnya apabila diperkenalkan kelak.

“Apa yang kita lalui sekarang adalah pengalaman yang sangat besar, bukan JAIS sahaja bahkan semua agensi kerajaan. Sudah sampai masanya kita punyai sistem dalam talian kena buat end-to-end,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya