Enam terbunuh serangan Israel di sekolah Gaza

Enam terbunuh serangan Israel di sekolah Gaza

SEORANG lelaki Palestin mendukung mayat bayi lelaki yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu di sebuah sekolah di kawasan Tuffah, Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel membunuh enam rakyat Palestin, termasuk seorang bayi yang sedang berlindung di sebuah sekolah yang menempatkan orang awam dalam serangan terbaharu di Gaza City, menurut pegawai hospital.

Serangan itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat tindakan Israel meningkat kepada 401 orang sejak gencatan senjata Oktober mula berkuat kuasa.

Pasukan tentera Israel melepaskan tembakan merentasi garisan gencatan senjata, mengakibatkan beberapa kematian dan mencederakan beberapa yang lain, menurut kenyataan Pertahanan Awam Palestin. 

Mayat mangsa hanya dapat dibawa keluar selepas koordinasi dilakukan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan pasukan penyelamat tidak turut menjadi sasaran tembakan Israel.

Puluhan orang berhimpun di sebuah hospital di Gaza City, dengan lima beg mayat diletakkan di luar hospital, manakala seorang lelaki dilihat mendukung mayat bayi yang dibalut kain kafan putih.

“Ini bukan gencatan senjata, ini adalah pertumpahan darah,” kata seorang saksi kejadian, Nafiz al-Nader kepada AFP sambil menyatakan harapannya agar keganasan segera dihentikan. 

Seorang lagi saksi berkata, bedilan berlaku tanpa sebarang amaran pada malam Jumaat dan mengenai bangunan sekolah berkenaan.

Walaupun diarah berundur di bawah terma perjanjian gencatan senjata pada Oktober lalu, tentera Israel masih menguasai kira-kira 53 peratus wilayah Gaza dan kerap melancarkan serangan udara di kawasan yang tidak diduduki mereka.

Pembunuhan pada Jumaat itu merupakan yang terbaharu dalam siri cabaran terhadap gencatan senjata yang kini memasuki bulan ketiga, ketika pihak pengantara berusaha mendorong perjanjian itu ke fasa kedua.

Fasa pertama gencatan senjata memperuntukkan usaha menghentikan permusuhan antara Hamas dan Israel, pengunduran tentera Israel ke garisan kuning, serta peningkatan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sebelum ini terjerumus ke dalam kebuluran akibat sekatan bantuan oleh Israel.

Fasa kedua perjanjian itu bertujuan membawa kepada keamanan berkekalan di Gaza, namun perbezaan besar antara Hamas dan Israel masih belum diselesaikan. 

Israel menuntut Hamas melucutkan senjata dan menyerahkan kuasa kepada sebuah pihak berkuasa peralihan awam, selain penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, sebelum pengunduran penuh Israel dapat dilakukan.

Setakat ini, tiada persetujuan jelas mengenai cara merapatkan jurang pendirian kedua-dua pihak. 

Pada Jumaat, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berkata, mandat pasukan penstabilan antarabangsa yang menjadi elemen utama pelan gencatan senjata  perlu diperjelaskan sebelum negara asing membuat komitmen menghantar tentera.

“Demi keadilan kepada semua negara yang kami bincangkan mengenai kehadiran di lapangan, mereka mahu tahu dengan jelas apakah mandat pasukan itu dan bagaimana mekanisme pembiayaannya,” kata Rubio dalam sidang media.

Beliau berkata, terdapat beberapa negara yang boleh diterima oleh semua pihak untuk menyertai pasukan antarabangsa berkenaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×