Dua pasangan suami isteri antara 47 suspek dadah diberkas - Utusan Malaysia

Dua pasangan suami isteri antara 47 suspek dadah diberkas

MAZLAN Hassan (depan, dua dari kiri) menunjukkan dadah dan air ketum yang dirampas dalam Op Sarang Khas di IPD di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dua pasangan suami isteri antara 45 lelaki dan dua orang wanita yang diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, sempena Ops Sarang Khas di daerah ini berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, kesemua suspek yang ditahan disiasat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Katanya, suspek terbabit berusia antara 19 tahun hingga 52 tahun diberkas setelah polis menggempur sarang pengedar dan penagih dadah di ladang sawit kawasan Felda dan kampung tradisional sempena Op Sarang Khas bermula 30 Oktober lalu.

“Operasi selama tiga itu bertujuan menggempur ‘port’ pengedar dan penagih dadah di daerah ini khususnya di kawasan Felda dan kampung tradisional yang secara langsung senario tersebut membimbangkan penduduk setempat.

“Polis Jerantut melaksanakan operasi besar-besaran serentak dengan lima daerah lain di negeri ini antara jihad memerangi aktiviti pengedaran dan penagihan dadah yang membabitkan penduduk di kawasan berkenaan malah trend ini sudah menular dalam kalangan remaja,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jerantut di sini hari ini.

Mazlan berkata, hasil risikan dan maklumat orang ramai, polis telah membuat pemantauan dan serbuan ke sarang dadah berikutan sudah ada remaja belasan tahun terlibat dengan bahan terlarang tersebut.

Menurutnya, seramai empat suspek dadah yang diberkas terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin dan syabu yang akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan sekiranya disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.

“Dua orang yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu, manakala dua orang suspek lagi disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, seorang suspek turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dua jenis dadah berbahaya, iaitu heroin dan syabu serta lapan orang lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama kerana menyimpan dadah yang sama.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau, seramai 20 orang yang ditahan pernah melakukan kesalahan bahan terlarang ini, iaitu dikategorikan sebagai penagih berulang,” katanya.

Selanjutnya, Mazlan berkata, semasa operasi itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat 38.12 gram, heroin (57.66 gram), pil Yaba (5.14 gram), cecair kodein (0.18 gram), air ketum (lima liter) dengan anggaran keseluruhan bernilai RM9,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN