Dos penggalak tidak wajib - Utusan Malaysia

Dos penggalak tidak wajib

NOOR AZMI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi mengawal jangkitan varian baharu Covid-19, dan perkara itu tidak akan menjejaskan sijil vaksin mereka yang sudah lengkap dua dos.

Bercakap kepada Mingguan Ma­laysia, Timbalan Menteri Ke­sihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, keputusan untuk tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak dari jenis Pfizer itu adalah susulan majoriti golongan dewasa telah mendapatkan dua dos suntikan wajib.

Jelasnya, ini sekali gus mengu­rangkan kes-kes serius akibat Co­vid-19, yang mendorong aktiviti rentas negeri dibuka semula dan merancakkan kembali ekonomi.

Namun beliau berkata, susulan kemunculan varian terkini Covid-19 yang lebih berbahaya seperti Delta, orang ramai digalak­kan mengambil dos penggalak secara sukarela.

“Ia tak wajib dan diberi percuma selain secara sukarela. Jadi kerajaan mendapat kelulusan bersyarat untuk beri dos penggalak ini, kepada syarikat Pfizer.

“Jika tak ambil, ia tak akan mempengaruhi sijil vaksin. Bagi yang sudah mendapat dua dos vaksin, ini sudah kira bagus, se­bab itu kita benarkan perjalanan mereka rentas negeri, kita bagi makan di kedai dan sebagainya.

“Namun, harus ingat bahawa dos penggalak ini akan memantapkan antibodi. Sebab kajian menunjukkan, imuniti akan makin berkurangan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Ditanya mengenai kes kematian dalam kalangan remaja selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, Noor Azmi berkata, terdapat tujuh kematian dilaporkan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

“Setakat ini, ada tujuh kematian selepas vaksin, ini kematian selepas divaksin, bukan kematian akibat vaksin ya. Di Kelantan, dua kematian, Johor dua, Perak dua dan satu kematian di Kedah.

Sementara itu, satu kes kematian tanpa siasatan sebab waris tak bagi buat post-mortem.

“Laporan post-mortem masih lagi dalam siasatan. Jadi harus jelas bahawa ini bukan kematian disebabkan vaksin, tapi kematian selepas divaksin. Jadi, puncanya masih dalam siasatan, kena tunggu hasil post-mortem dan saya tak boleh dedahkan perkara itu sebab masih sedang dalam siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan ber­asingan, beliau menyelar tindakan syarikat Pfizer yang dilaporkan mengugut Brazil dan Argentina, meminta negara-negara tersebut mencagarkan aset strategik termasuk rizab bank, pangkalan tentera serta bangunan kedutaan masing-masing dalam kontrak perbekalan vaksin dengan syarikat tersebut.

Katanya, kes sebegitu tidak berlaku di Malaysia, namun meminta kerajaan agar berhati-hati dan menyegerakan pembangunan vaksin negara bagi mengelak dibuli oleh syarikat-syarikat farmaseutikal dunia yang memonopoli industri perbekalan.

“Malaysia tak kena, kita tak dibuli. Cuma suka saya nyatakan, sebab kes-kes begitu maka digalakkan negara-negara lain bangunkan vaksin sendiri. Macam di Malaysia contohnya, kita memang dalam proses bangunkan vaksin sendiri.

“Sepatutnya tak berlaku begitu, kenapa kena ugut orang? Contoh, kalau kita nak beli 1,000 dos, kita kena bayar siap-siap, itu pun kalau tak jadi beli, duit lesap kalau tak salah saya, kalau macam itu saya rasa macam kena buli pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN