KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang meletak jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember ini, jika baki 22,288 doktor berkenaan tidak diserapkan ke jawatan tetap oleh kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, pihaknya akan menggerakkan doktor kontrak yang belum ‘diiktiraf’ dengan membawa plakad bermesej ‘letak jawatan’ sebagai simbolik protes disusuli peletakan jawatan beramai-ramai pada bulan sama.
Menurut beliau, bagi menuju ke arah mogok siri kedua itu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak bercadang membuat sidang media berhubung perkara itu pada minggu ini.
“Pada sidang akhbar itu kita akan mendedahkan tarikh sebenar siri mogok kedua bermula dan bagaimana proses gerak kerjanya kerana dikatakan akan menyerupai naratif mogok pertama pada 26 Julai lalu,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Katanya, mogok tersebut mungkin sama seperti sebelum ini dan dijangka mengambil masa 30 minit hingga sejam dengan peserta memegang plakad bertulis ‘Mass Resignation’ sebagai simbolik tuntutan gerakan itu.
“Setakat ini, kami belum tahu jumlah doktor kontrak yang akan mengambil bahagian tetapi yang pasti akan mengabungkan sekali dengan doktor kontrak yang sudah meletak jawatan pada mogok siri pertama.
“Saya berpandangan, sekiranya kami terus duduk dalam Kementerian Kesihatan (tetapi masih berstatus kontrak, kami semua susah bergerak ke hadapan (mendapat peluang sama seperti lantikan tetap). Masa depan kami juga tidak pasti, jadi lebih baik kami pergi ke tempat jauh,” luahnya yang kecewa dengan layanan kerajaan terhadap doktor kontrak.
Utusan Malaysia semalam melaporkan 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pelantikan tetap.
Pada 26 Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak melakukan mogok secara aman di seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada mereka.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pula, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.
Bagaimanapun, pengumuman itu, menurut Gerakan Hartal Doktor Kontrak belum menjawab persoalan dan penantian mereka mengenai pelantikan mereka secara tetap.
Ditanya jika mogok kedua bakal melumpuhkan sistem kesihatan di hospital-hospital kerajaan, Muhammad Yassin berkata, perkara itu mungkin tidak berlaku kerana perkhidmatan kerajaan masih mempunyai sokongan daripada petugas kesihatan lain selain mogok pertama juga tidak membangkitkan sebarang masalah.
“Memang tanggungjawab kami menjaga pesakit supaya tidak terjejas walau apa pun tindakan yang kami lakukan. Saya tidak rasa akan macam ini (sistem kesihatan terjejas). Mogok terdahulu pun tiada apa-apa yang buruk,” katanya.
Dalam pada itu, kata Mohamad Yassin, pihaknya akan terus berhubung dengan pihak-pihak terlibat iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, JPA dan SPA berkaitan masalah lantikan mereka sehingga tarikh sebenar mogok tiba.
Sementara itu, doktor kontrak, dikenali sebagai Dr. Kamal Ridzwan, 30, pula berkata, beliau bersedia melepaskan jawatannya selepas setahun setengah berkhidmat di Kementerian Kesihatan dan mungkin akan berhijrah ke luar negara kerana yakin, peluang sebagai doktor tetap dan menjadi pakar perubatan lebih terjamin berbanding di negara ini.
“Saya akan menyokong dan menyertai apa sahaja yang dirancang oleh Gerakan Hartal Doktor Kontrak pada mogok kali ini.
“Tuntutan kami, lantik kami secara tetap, dan beri jalan kepada kami untuk menyambung pelajaran dalam program kepakaran kerana saya tahu, negara kita masih kekurangan tenaga doktor,” katanya.
Mengikut rekod, setakat 22 Mei lalu, terdapat 32,516 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi manakala daripada jumlah tersebut, seramai 23,077 adalah pegawai perubatan Gred UD41.
Bagaimanapun, daripada jumlah 32,516 itu, hanya 789 daripada 2,544 pengambilan pertama pada 2016, pengambilan pertama pada 2017 dan sebahagian pengambilan kedua pada 2017 atau 30 peratus daripada mereka diberikan lantikan tetap atau layak menerima jawatan itu.- UTUSAN










