Didakwa tidak pakai pelitup muka, ‘Karen’ disiasat lagi - Utusan Malaysia

Didakwa tidak pakai pelitup muka, ‘Karen’ disiasat lagi

TULAR ciapan Twitter netizen berhubung kewujudan dua 'Karen' yang tidak memakai pelitup muka di taman KLCC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan wanita warga asing yang dikatakan tidak memakai pelitup muka di sebuah taman di pusat beli-belah terkenal di ibu negara.

Ini susulan satu ciapan gambar di Twitter yang tular yang menunjukkan wanita tersebut dilihat berjalan kaki di sekitar taman pusat beli-belah tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Siasatan sedang dijalankan dan seterusnya kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Justeru, orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dan tindakan di bawah peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tular sejak semalam gambar wanita warga asing didakwa ‘Karen’ yang dilihat berjalan kaki di taman sebuah pusat beli-belah terkemuka tanpa memakai pelitup muka.

Sebelum ini, media melaporkan wanita terbabit turut menimbulkan kekecohan apabila enggan memakai pelitup muka ketika hendak masuk ke sebuah butik mewah di pusat beli-belah sama di ibu negara.

Susulan itu, wanita berasal dari Perancis itu dikenakan tindakan kompaun RM3,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN