Dalang sindiket palsu dokumen warga Pakistan ditahan

Kaut untung berjuta ringgit, dalang sindiket palsu dokumen warga Pakistan ditahan

SEORANG warga Pakistan dalang sindiket dokumen palsu ditumpaskan JIM di Setapak, Kuala Lumpur. - FOTO JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegiatan seorang lelaki warga Pakistan berusia 37 tahun yang menjadikan sebuah kondominium mewah di Setapak, Kuala Lumpur, sebagai markas memproses dan menghasilkan dokumen palsu akhirnya terbongkar.

Ia selepas suspek ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dalam satu operasi penguatkuasaan, pada 12 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati salah satu bilik di kondominium berkenaan dijadikan makmal untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu.

Beliau berkata, antara yang dijumpai adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad,  pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram itu.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai pelbagai dokumen palsu termasuk pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak yang disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Turut dijumpai adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Klang yang turut disewa untuk kegiatan ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu menjumpai cap PLS dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.

“Modus operandi adalah mengunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk beliau bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini.

“Suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan dikesan menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran  antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki pelanggan.

“Bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50. Kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas. Subjek akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya