Proses pengeluaran MyKad, PMA berada dalam jadual ditetapkan

Proses pengeluaran MyKad, PMA berada dalam jadual ditetapkan

KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Proses pengeluaran MyKad dan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu ketika ini berada dalam jadual ditetapkan, namun baki daripada stok lama masih digunakan sepenuhnya terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun kontrak pembekalan lama telah tamat secara rasmi pada awal Jun lalu, ia tidak menjejaskan operasi pengeluaran dokumen pengenalan diri dan pasport negara.

“Bermula 1 Jun, kita masih lagi akan mengeluarkan permohonan, sama ada pasport ataupun kad pengenalan berdasarkan pada stok lama.

“Kontrak lama itu tamat pada awal bulan Jun, tetapi stok itu masih ada, jadi walaupun kita akan mengeluarkan versi baru, tapi tidak bermakna stok yang bertahan dua hingga tiga bulan itu kita kena musnahkan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad Struktur Baharu, akan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.

Penambahbaikan itu dijangka mampu meningkatkan keupayaan pengesahan identiti, selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai contoh permohonan MyKad bagi kanak-kanak berusia 12 tahun mencecah sekitar 35,000 permohonan sebulan dan kesemuanya akan diproses menggunakan baki stok tersebut buat masa ini.

“Jadi MyKad ini kita akan keluarkan masih lagi berdasarkan stok lama, kontrak lama, itu yang kita buat dan sehingga selesai yang itu baru lah inisiatif baru akan bermula,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyentuh mengenai pelaksanaan pasport Malaysia dengan tempoh sah laku 10 tahun dan mengesahkan perkara itu juga berada dalam perancangan dan tarikh rasmi pelaksanaan akan diumumkan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN