Dakwaan Forest City projek gagal tidak berasas - TMJ - Utusan Malaysia

Dakwaan Forest City projek gagal tidak berasas – TMJ

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa projek Forest City di Iskandar Puteri merupakan satu projek mega yang gagal adalah tidak berasas dan merupakan fitnah yang disebarkan oleh pihak tertentu.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, sebaliknya projek berkenaan adalah satu projek yang sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan.

“Projek ini sudah pun menyumbang pendapatan sebanyak RM630 juta kepada kerajaan negeri Johor dalam bentuk bayaran cukai, dividen, dan sebagainya.

“Projek ini juga telah mencipta pekerjaan untuk 1,200 rakyat tempatan dan menganugerahkan kontrak kerja bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat kontraktor tempatan.

“Ini secara langsung telah membuka peluang untuk memajukan industri pembinaan di Johor untuk jangka masa panjang,” titahnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Titah Tunku Ismail, projek berkenaan juga telah menerima anugerah Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA) pada bulan lalu.

“Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya.

“Cabaran juga dihadapi dengan wabak Covid-19 yang bukan sahaja melanda Johor, malah seluruh dunia. Situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan juga telah menyebabkan kadar penjualan yang kurang.

“Juga perlu diingatkan bahawa dasar keajaan persekutuan yang tidak konsisten turut menyebabkan keyakinan pelabur terhadap negara kita terjejas,” titahnya.

Sehubungan itu, baginda berharap dengan polisi yang lebih stabil pada masa akan datang dan apabila situasi ekonomi sudah bertambah baik, lebih ramai pelabur akan datang ke negara dan melabur di sini.

Baru-baru ini, tular satu perkongsian video di YouTube yang mendakwa projek Forest City merupakan salah satu daripada lima projek mega yang dikategorikan gagal di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN