KUALA KRAI: Ibarat hidup di era 90-an. Itu realiti sebenar kehidupan penduduk Dabong, di sini yang kekal di takuk lama biarpun pekan kecil ini diangkat menjadi produk pelancongan utama Kelantan melalui fenomena Train to Dabong.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pembangunan dan kemudahan asas di kawasan itu bagaikan tidak seiring dengan populariti dikecapi.
Umpamanya, hanya terdapat sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di daerah ini.
Selain itu, tiada cawangan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibuka di Dabong yang menyukarkan penduduk menyalurkan aduan atau membuat urusan rasmi di kaunter. Pembayaran bil pula dibuat di pejabat pos sahaja.
Sedangkan ketika ini, ribuan pelancong masuk ke Dabong setiap hari selepas kelonggaran sektor ekonomi dan rentas negeri dibenarkan, dibantu pula kemudahan tren baharu Diesel Multiple Unit (DMU) yang diperkenal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Penduduk tempatan, Siti Aisyah Sepian, 20, yang tinggal di Kampung Kandek memberitahu, terdapat tiga bandar terdekat dengan Dabong iaitu Jeli yang sejauh 54 kilometer (km), Gua Musang (61km) dan Kuala Krai (81km).
“Bayangkan anda berada di Dabong dan satu-satunya ATM yang ada rosak atau kehabisan wang? Selama ini, kami terpaksa menempuh perjalanan hingga dua jam pergi balik semata-mata mahu mengeluarkan wang atau berurusan di kaunter bank di Jeli.
“Tolonglah pihak berkuasa, kerajaan negeri mahupun Pusat. Jika tidak mampu mewujudkan sebuah bank di sini, sekurang-kurangnya tambahlah perkhidmatan ATM untuk kegunaan rakyat dan pelancong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi anak jati Dabong, Nik Ali Nik Muhammad, 27, pula berkata, selain ATM, pilihan yang ada ialah kedai runcit yang menjadi Ejen Bank Berdaftar (EBB) dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) atau Agrobank.
“Tetapi had pengeluaran menerusi EBB terhad kepada RM500 sehari. Jadi kami masih perlu pergi ke bandar Jeli. Alangkah payahnya urusan penduduk terutama golongan warga emas atau orang miskin yang tiada kereta,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Siti Nur Aqilah Tazu Azha, 26, berkata, ketika kali pertama melancong ke Dabong, dia tidak menyediakan wang wang tunai mencukupi dan terpaksa berbaris panjang di ATM.
“Lagi perit, satu-satunya mesin ATM itu kehabisan wang. Saya ke Dabong naik DMU KTMB. Terpaksalah sewa kereta untuk ke Jeli, semata-mata untuk keluarkan wang tunai, termasuk bayar kereta sewa itu.
“Jangan fikir jika tiada wang tunai, anda boleh berurusan secara cashless di Dabong. Segala-galanya dibayar tunai di sini. Sebab sudah serik, ketika datang ke Dabong kali ini, saya sediakan wang mencukupi,” katanya.
Dabong terbahagi kepada empat mukim iaitu Kuala Pergau, Kuala Stong, Kuala Gris dan Kandek dengan populasi penduduk sekitar 14,000.
Daerah ini mempunyai sebuah sekolah menengah dan empat sekolah rendah.
Tiada klinik swasta di daerah ini kecuali sebuah klinik kesihatan kerajaan, selain terdapat dua stesen minyak untuk kemudahan penduduk. Daerah ini juga tiada perkhidmatan bas henti-henti kecuali kereta api dan ‘prebet sapu’. – UTUSAN ONLINE











