PETALING JAYA: Angka jangkitan harian Covid-19 diramal meningkat kepada 7,000 kes sehari sekitar Disember atau hujung bulan itu jika tiada tindakan segera dilakukan untuk menyekat penularannya.
Ini kerana sejak kerajaan membuka semula sektor ekonomi, sempadan negeri dan negara bermula 11 Oktober lalu, orang ramai dilihat semakin leka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak itu.
Semalam, Malaysia merekodkan 6,380 kes jangkitan Covid-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan meningkat kepada 2,569,533 kes dengan keseluruhan kematian sebanyak 29,837 setakat Rabu lepas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, susulan peningkatan jumlah kes harian tersebut, Malaysia dijangka berdepan gelombang keempat Covid-19 selepas ini.
Menurut beliau, ramalan itu berdasarkan trend peningkatan jangkitan harian sehingga 10 peratus sehari pada hari-hari tertentu ketika ini.
“Kami menjangkakan kes baharu boleh mencapai sehingga 7,000 kes sehari apabila purata kes yang dilaporkan buat masa ini sekitar 5,000 hingga 6,000 kes.
“Bagaimanapun, gelombang baharu itu mungkin tidak seteruk sebagaimana yang berlaku dalam gelombang-gelombang sebelum ini,” kata beliau.

Selain itu, Sharifa Ezat memberitahu, beberapa hari ini sahaja, Kementerian Kesihatan melaporkan berlaku peningkatan kluster-kluster baharu terutama di tempat kerja.
“Kebanyakan kluster baharu berkaitan tempat kerja dan kemungkinan juga disumbangkan oleh kelonggaran rentas negeri.
“Memang kita sudah divaksin, tetapi kajian baharu dari luar negara juga menunjukkan tahap perlindungan vaksin bukannya 100 peratus dan semakin hari semakin menurun keberkesanannya terutama kepada mereka yang imunisasinya rendah, berumur apatah lagi yang belum divaksin,” katanya.
Selasa lalu, media melaporkan, Kementerian Kesihatan terus membuat persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk menjalankan simulasi untuk berdepan kemungkinan berkenaan.
Ini berikutan peningkatan kadar kebolehjangkitan yang direkodkan kembali melepasi nilai 1.0 sejak 11 November lalu.
Sehubungan itu, Sharifa Ezat berpendapat, kerajaan perlu kembali kepada menguatkuasakan semula sekatan pergerakan penuh secara bersasar dengan beberapa SOP sedia ada perlu diketatkan.
“Contohya, beberapa negeri atau kawasan yang nilai kebolehjangkitannya (Rt) meningkat dan kes tinggi, perlu buat sekatan pergerakan bersasar.
“Selain itu, arahan-arahan seperti bekerja dari rumah (BDR) dan kerja bergilir berikutan kluster tempat kerja yang turut meningkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail meminta rakyat lebih bertanggungjawab dan tidak menunggu arahan kerajaan serta penguat kuasa semata-mata dalam menyekat peningkatan semula jangkitan baharu.
Katanya, ini kerana pihaknya melihat disiplin rakyat masih rendah dalam mematuhi SOP sejurus selepas kelonggaran `bergerak’ dibenarkan kerajaan.
“Jadi, tidak terkejut sekiranya kemasukan unit rawatan rapi (ICU) atau kes kategori empat dan lima meningkat semula.
“Kita harap orang ramai kekalkan SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, jadi kena amal betul-betul walaupun sudah bebas,” kata beliau.
Sementara itu, di Indonesia, pihak berkuasa negara itu mengeluarkan arahan mengadakan sekatan pergerakan (PPKM) tahap tiga di seluruh republik itu menjelang perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2022.
Menteri Penyelaras Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy berkata, langkah itu diambil bagi mengelak Indonesia berdepan dengan gelombang ketiga penularan Covid-19 berikutan lonjakan kes jangkitan.
PPKM akan bermula pada 24 Disember ini sehingga 2 Januari 2022. – UTUSAN ONLINE











