KUCHING: Penggunaan media sosial dalam kempen Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak jika diadakan nanti memainkan peranan yang penting membantu pemimpin dan parti politik menjalankan kempen serta manifesto mereka.
Justeru, penganalisis politik, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Limbang berpendapat sekiranya PRN-12 Sarawak diadakan dan kempen hanya dibenarkan menggunakan media sosial maka, parti yang bertanding akan memanfaatkan platform laman sosial seperti Facebook dan , Whatsapp menyampaikan maklumat kepada rakyat untuk memimpin merekka.
“Selain itu, media arus perdana juga harus memainkan peranan dalam memberi peluang serta keseimbangan menyampaikan maklumat berhubung manifesto parti-parti politik yang bertanding,” katanya.
Bagaimanaun jelasnya penggunaan media sosial memerlukan capaian internet yang tinggi terutama di kawasan luar bandar.
“Sekiranya capaian internet di Sarawak tidak ditambah baik pada tahap yang memuaskan lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar, ia akan menyebabkan kegagalan calon atau parti politik yang bertindang tidak dapat menyampaikan maklumat dan manifesto mereka kepada pengundi.
“Justeru, ini akan memberi kesan yang buruk pada hari mengundi itu sendiri kerana ambil maklum penduduk di luar bandar khususnya di rumah-rumah panjang mereka tidak mempunyai laman sosial apatah lagi mahu mendapat maklumat berhubung manifesto parti politik melalui pendigitalan,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, katanya capaian internet di kawasan luar bandar boleh ditambahbaikan dengan mengambil usaha kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang telekomunikasi dan pendigitalan.
Pada Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan. -UTUSAN ONLINE










