KUALA NERUS: Ibu kanak-kanak mangsa lemas, Muhamad Zarif Hazahari, 5, lega doanya dimakbulkan apabila jasad anak kelima dari enam adik-beradik itu ditemukan pagi ini.
Siti Hajar Ismail, 42, berkata, walaupun tidak bernyawa, dia lega dapat melihat jasad anaknya yang hilang akibat ditelan ombak di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap di sini, petang kelmarin.
“Saya berdoa kepada Allah supaya temukan anak saya. Biar dalam keadaan macam mana sekalipun. Ketika diberitahu jasad Muhamad Zarif ditemukan, saya tidak menangis dan saya reda,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengebumian Muhamad Zarif di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit, di sini, hari ini.
Jenazah Muhammad Zarif dikebumikan kira-kira pukul 2.15 petang.
Siti Hajar berkata, dia bersyukur penantian sudah berakhir dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari dan mendoakan arwah Muhammad Zarif.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Muhammad Zarif ke pantai itu bersama ibu saudara dan dua sepupunya sebelum dihanyutkan ombak besar ketika bermain di tepi pantai.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan kira-kira pukul 3 pagi ini iaitu 6 kilometer dari tempat kejadian. – UTUSAN











