KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun tiga bulan selama tempoh tiga hari berturut-turut, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 48 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan maksud seksual telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tiga bulan di sebuah rumah di Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 8 malam pada 19 Jun 2025, 8 malam pada 20 Jun 2025 dan 11 pagi pada 21 Jun 2025.
Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana tertuduh didakwa mempunyai hubungan amanah dengan mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa. Mahkamah menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN










