Bimbang ancaman kerintangan antibiotik akibat penggunaan tidak wajar - Utusan Malaysia

Bimbang ancaman kerintangan antibiotik akibat penggunaan tidak wajar

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia termasuk seluruh dunia melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kerintangan antibiotik menjadi ancaman susulan penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, isu kerintangan antibiotik boleh menyebabkan penyakit sukar diubati dan akan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian di mana kadar kematian bagi pesakit dengan jangkitan serius disebabkan bakteria kebal yang dirawat di hospital adalah kira-kira dua kali ganda berbanding pesakit dengan jangkitan bakteria biasa. 

Katanya, dianggarkan sebanyak 700,000 kematian global setiap tahun adalah dikaitkan dengan isu kerintangan antibiotik dan sekiranya tidak dikawal, angka itu dijangka meningkat kepada 10 juta menjelang 2050.

“Penggunaan antibiotik yang tidak wajar telah mewujudkan masalah baharu iaitu ‘kerintangan antibiotik’ atau antimicrobial resistance (AMR) sekali gus menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak berkesan dalam merawat jangkitan.

“Suatu kajian berkaitan bakteria kebal E. coli yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 2019 bersama pelbagai agensi mendapati bakteria kebal, E. coli telah tersebar secara meluas dalam kalangan manusia, haiwan dan alam sekitar di Malaysia. Penemuan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan dan kita perlu mengambil tindakan segera,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena kempen Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia bagi 2021 yang bertemakan ‘Hentikan Penyalahgunaan dan Penggunaan Berlebihan Antibiotik’.

Khairy berkata, bakteria kebal boleh merebak melalui beberapa cara termasuklah jangkitan antara individu, pengambilan makanan atau minuman tercemar dengan bakteria kebal, pendedahan kepada persekitaran yang tercemar serta pengambilan makanan berasaskan haiwan ternakan yang mengandungi residu antibiotik yang tinggi.

Katanya. masyarakat harus memahami bahawa tidak semua penyakit adalah disebabkan jangkitan bakteria seperti batuk, selesema dan sakit tekak yang disebabkan virus, tidak memerlukan rawatan menggunakan antibiotik kerana penggunaan antibiotik untuk rawatan sakit seperti ini adalah tidak berkesan atau tidak diperlukan sama sekali.

“Jika tidak sihat maka dapatkan rawatan doktor manakala preskripsi doktor adalah perlu untuk penggunaan antibiotik. Sekiranya diberikan antibiotik, ia perlu diambil seperti yang diarahkan kerana antibiotik perlu dihabiskan mengikut tempoh yang diberi dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Antibiotik yang sudah digunakan juga tidak boleh digunakan semula untuk jangkitan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, apabila berjumpa doktor, jadikan amalan untuk bertanya keperluan pengambilan apa-apa jenis ubat yang diberikan termasuklah antibiotik.

“Setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan dalam memastikan penggunaan antibiotik dibuat secara rasional dan berhemah bagi mengurangkan kejadian kerintangan antibiotik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, pada 24 November ini, Malaysia akan turut sama menyertai seluruh dunia dalam meningkatkan kesedaran global terhadap isu kerintangan antibiotik, melalui kempen ‘Go Blue for AMR’ bersempena Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita akan menerangi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan mewarnakan pancutan air di pusat beli belah KLCC dengan cahaya biru sebagai tanda komitmen Malaysia. Individu, komuniti dan organisasi juga dijemput untuk memakai pakaian berwarna biru muda, mencahayakan bangunan atau monumen dengan lampu berwarna biru muda sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap kempen ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya