PETALING JAYA: Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai memilih untuk tinggal di rumah setinggan di Jalan Klang Lama di sini kerana kadar sewa yang rendah selain lokasi berkenaan yang agak tersorok.
Kegiatan itu terbongkar selepas kawasan terbabit diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi Op Sapu bermula kira-kira pukul 1.30 pagi.
Dalam serbuan itu, sebanyak 40 unit rumah yang didiami warga asing diperiksa, manakala seramai 78 individu termasuk 30 wanita disyaki PATI ditahan hasil pemeriksaan terhadap 200 individu.
JIM memaklumkan, tangkapan melibatkan 71 warga Indonesia selain Myanmar (enam orang) dan seorang warga India.
“Ketika serbuan dijalankan, terdapat cubaan segelintir warga asing melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak ditahan pihak imigresen,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, kadar sewaan di kawasan berkenaan bermula serendah RM200 bagi sebuah bilik manakala sebuah rumah pula boleh mencecah RM500.
Kawasan berkenaan turut dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, selain mempunyai surau serta kedai runcit.
Selain, terdapat aktiviti rumah judi dalam talian dipercayai dijalankan di kawasan terbabit.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan mendakwa telah menyewa di kawasan berkenaan sejak 30 tahun lalu dengan bayaran RM500 sebulan.
“Di sini ada orang Indonesia, Myanmar dan orang kita pun ada,” jelasnya. – UTUSAN










