Afrika Barat, AS antara sumber baharu bekalan tenaga negara - Utusan Malaysia

Afrika Barat, AS antara sumber baharu bekalan tenaga negara

AMIR Hamzah Azizan beramah mesra dengan peniaga sayur pada Program Lawatan Pasar Tani di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia meneliti sumber bekalan alternatif, sekiranya berlaku kekangan terhadap produk petrokimia dari Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara pendekatan yang diambil adalah mempelbagaikan sumber bekalan termasuk mendapatkan bekalan dari Afrika Barat, Amerika Syarikat (AS) dan pasaran lain.

Katanya, kerajaan memberi jaminan bekalan minyak negara kekal mencukupi, walaupun berlakunya ketegangan di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran tenaga dan rantaian bekalan global.

Beliau berkata, Malaysia berjaya mengekalkan bekalan yang konsisten hasil kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan syarikat-syarikat minyak lain.

“Kita mungkin perlu melihat bekalan alternatif dari tempat lain untuk plastik dan bahan-bahan berkaitan. Itu sedang diusahakan. Yang penting, kita cari jalan untuk mengimbangi keadaan ini dan mencari sumber bekalan lain bagi menjamin keterjaminan bekalan.

“Fokus kita paling penting ialah memastikan bekalan tidak terputus dan alhamdulillah kita berjaya. Kita tengok tidak ada kekurangan bekalan dalam negara.

“Apabila tiada kekurangan bekalan, orang tidak risau untuk isi minyak, tiada barisan panjang dan tiada catuan,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kelana Jaya di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, Malaysia masih berada dalam kedudukan baik kerana mempunyai bekalan dalam negara, selain usaha berterusan mendapatkan sumber baharu dari luar negara.

“Kalau orang nak berniaga, mereka boleh mendapat bekalan yang ada. Ini mungkin berbeza dengan negara-negara lain tetapi di Malaysia, alhamdulillah kita dapat menjamin bekalan yang konsisten.

“Ini kerana kita masih ada bekalan dalam negara dan kerjasama antara Petronas serta syarikat minyak lain berjaya mendapatkan bekalan baharu untuk negara,” katanya.

Katanya, walaupun ketegangan geopolitik memberi implikasi kepada kenaikan harga minyak global, pendekatan kerajaan adalah mengurangkan beban rakyat termasuk mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter.

Katanya, bagi sektor yang berkemampuan pula, kerajaan telah melaksanakan harga pasaran terbuka melalui penyasaran subsidi sebelum ini.

“Kita tahu ada implikasi kenaikan harga. Harga petrol tidak bersubsidi bergerak mengikut harga global,” katanya.

Katanya, strategi sama turut digunakan bagi bekalan arang batu apabila kebergantungan kepada satu sumber dikurangkan melalui kepelbagaian sumber import.

“Ini pengurusan risiko yang baik. Kalau berlaku apa-apa kepada satu sumber, kita boleh tingkatkan bekalan daripada sumber lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN