Ben Gvir, Smotrich diharamkan 'jejak kaki' ke Ireland

Ben Gvir, Smotrich diharamkan ‘jejak kaki’ ke Ireland

ITAMAR Ben Gvir (kiri) dan Bezalel Smotrich ketika menghadiri sesi Parlimen Israel. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN: Ireland mengharamkan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, daripada memasuki negara itu, termasuk mengutuk tindakan mereka terhadap aktivis pro-Palestin.

Menteri Kehakiman, Jim O’Callaghan, dalam satu kenyataan semalam berkata pihak imigresen diarahkan untuk menolak kemasukan kedua-dua menteri itu sekiranya mereka cuba memasuki negara tersebut.

“Jim O’Callaghan mengarahkan pegawai imigresen untuk menolak kemasukan Ben Gvir dan Smotrich sekiranya mereka cuba memasuki negara ini,” menurut kenyataan kementerian kehakiman kepada AFP.

Langkah itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin, yang sebelum ini menyatakan Ireland akan bertindak menyekat kemasukan pegawai Israel yang dilihat mengapi-apikan konflik di Gaza, selepas Ben Gvir mengejek aktivis yang ditahan tentera Israel dalam flotila bantuan ke Gaza bulan lalu.

Ben Gvir, seorang tokoh sayap kanan ekstrem, menjadi menteri pada 2022 selepas membentuk pakatan dengan parti Religious Zionist yang dipimpin Smotrich, muncul di tempat ketiga dalam pilihan raya perundangan.

Kedua-dua Ben Gvir dan Smotrich merupakan tonggak penting dalam kerajaan gabungan sayap kanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Tindakan kedua-dua menteri itu bukan sahaja berkaitan insiden flotila, tetapi juga kenyataan berterusan mereka yang pada dasarnya ‘menjurus kepada keinginan untuk melihat penghapusan rakyat Palestin’, kata Micheál Martin kepada pemberita semasa sidang kemuncak di Montenegro pada Jumaat.

“Pada pandangan saya, tingkah laku mereka juga wajar dikenakan sekatan di peringkat Kesatuan Eropah,” tambah beliau.

Bulan lalu, Perancis turut mengharamkan kemasukan Ben Gvir kerana kelakuannya. United Kingdom (UK) menyekat kemasukan kedua-dua menteri itu sejak Jun 2025, manakala beberapa negara lain termasuk Sepanyol dan Slovenia turut mengambil langkah sama.

Ireland antara negara yang paling lantang mengkritik serangan Israel ke atas Gaza susulan serangan maut Hamas pada Oktober 2023, dan mengiktiraf negara Palestin pada 2024.

Tidak lama selepas itu, Menteri Luar Israel Gideon Saar mengarahkan penutupan kedutaan Israel di Dublin, dengan menuduh Ireland mengamalkan ‘dasar anti-Israel yang melampau’.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN