Bertindak ganas terhadap isteri, anak-anak perbuatan tercela 

Bertindak ganas terhadap isteri, anak-anak perbuatan tercela 

IDRIS Ahmad mempengerusikan Sidang Meja Bulat bagi memperkasa golongan lelaki sebagai pelindung dan ketua keluarga di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bertindak ganas terhadap isteri dan anak-anak serta culas dalam menunaikan nafkah adalah perbuatan tercela oleh Allah SWT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak juga dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi Muhammad SAW.

“Saya mengambil peluang untuk menegaskan dan mendokong pelaksanaan penguatkuasaan perintah Hiwalah ke atas bekas suami dan bapa yang culas dalam pemberian nafkah. Sekatan terhadap akaun bank perlu dilaksanakan sehinggalah bekas suami dan bapa penghutang menyelesaikan hutang nafkah mereka,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Katanya, tindakan ini adalah bertujuan membela kebajikan anak-anak dan golongan wanita di samping menyedarkan lelaki supaya lebih bertanggungjawab dengan keluarga sebagaimana ditetapkan syarak.

Idris berkata, sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah angka yang cukup meresahkan dan tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, jika ini berlarutan, beliau melihat akan berlakunya kejatuhan institusi keluarga yang sepatutnya menjadi institusi paling ampuh untuk kemajuan sesebuah negara. 

“Sebuah sistem organisasi kekeluargaan perlu dipimpin oleh seorang lelaki yang mampu melindungi secara holistik demi menjamin kebahagaiaan dan keharmonian keluarga. Seandainya seorang lelaki tidak memiliki sifat-sifat sebagai pelindung kepada wanita, maka berlakunya kezaliman terhadap isteri dan keluarga,” katanya.

Katanya, usaha-usaha memperkasa peranan golongan lelaki sebagai pelindung dan ketua keluarga perlu digerakkan secara terancang.

Terdahulu, Idris mempengerusikan Sidang Meja Bulat bagi memperkasa golongan lelaki sebagai pelindung dan ketua keluarga yang turut dihadiri para ilmuan dan aktivis masyarakat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Segala input Sidang Meja Bulat ini akan diambil tindakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku agensi peneraju hal ehwal Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya