Bersatu belum beri arahan kepada dua ADUN Melaka - Hamzah

Bersatu belum beri arahan kepada dua ADUN Melaka

HAMZAH Zainudin ditemui pemberita pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di Kamunting dekat Taiping, Perak, hari ini. - FOTO/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum memberi apa-apa arahan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu berhubung kedudukan mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, namun Speaker Dewan tahu bagaimana untuk menentukan susunan atau kedudukan dua ADUN itu dalam DUN.

“Sudah menjadi amalan mana-mana DUN, kedudukan kerusi ditentukan oleh Speaker, jadi Speaker patut ambil tahu bagaimana keadaan kedudukan semua ahli-ahli DUN.

“Dalam keadaan ini biarlah mereka (Speaker) menentukan kedudukan dua ADUN itu dan Bersatu tidak ada memberikan apa-apa arahan kepada kedua-dua ADUN ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di Kamunting, di sini hari ini.

Hamzah mengulas dua calon Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam PRN Melaka iaitu Dr. Aleef Yusof dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub yang dilihat tidak bersedia untuk duduk di kerusi pembangkang bersama lima lagi ADUN Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengulas perkara itu berkata, tidak ada keperluan untuk membawa bersama dua wakil rakyat PN dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hamzah berkata, Bersatu perlu mengeratkan hubungan dengan Pas yang mengumumkan menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) semalam.

Menurut Hamzah, sebagai rakan, Bersatu dan Pas perlu selalu bersama dari peringkat pemimpin hingga ke ahli akar umbi.

“Pas rakan kita, kalau rakan kita mesti selalu dengan mereka. Jangan sebagai rakan tapi jarang bersama. Ibarat kalau sudah berkahwin, mesti bersama selalu.  Kalau sudah kahwin tapi jarang bersama, tahu-tahu sajalah.

“Kita mesti melakukan sesuatu untuk merapatkan hubungan dengan rakan-rakan komponen. Jika kita selalu lakukan, tentu masyarakat akan melihat kita sebagai kumpulan yang benar-benar merapatkan silaturahim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN