Wartawan perlu diberi ruang liputan - Fahmi

Polis halang wartawan: Saya kesal apa yang berlaku, wartawan perlu diberi ruang liputan – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluahkan kekesalan terhadap tindakan polis terhadap tiga wartawan yang membuat liputan di lokasi insiden rusuhan di sebuah pusat karaoke di Cheras, baru-baru ini.

Beliau menegaskan wartawan sepatutnya diberikan ruang sepenuhnya tanpa sebarang gangguan.

“Kami masih belum menerima maklumat lengkap berhubung kejadian itu, namun akan segera berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Saya kesal dengan apa yang telah berlaku. Bagi rakan-rakan wartawan, mereka perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan bahawa wartawan yang menjalankan tugas secara profesional dan memperkenalkan diri sebagai pengamal media sewajarnya diberikan kerjasama oleh semua pihak.

“Secara dasarnya, wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas selagi mana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai seorang wartawan yang bertugas,” ujarnya.

Sebelum ini, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan berhubung tindakan didakwa diambil terhadap tiga wartawan di lokasi sebuah pusat karaoke di Cheras, sehari selepas insiden rusuhan yang dilaporkan melibatkan lebih 50 individu bertopeng.

Difahamkan, wartawan berkenaan telah diarahkan oleh polis untuk memadam semua gambar dan video yang dirakam di lokasi berkenaan.

Menurut laporan sebuah akhbar cina, seorang wartawan wanita dihampiri dua anggota polis berpakaian preman sebelum telefon bimbitnya diperiksa dan kemudian dibawa masuk ke dalam premis untuk disoal siasat berhubung rakaman yang dibuat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengesahkan belum menerima laporan mengenai insiden ‘serangan’ terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Kuala Lumpur, semalam.

“Saya tak ada terima laporan, saya cuma meneliti apa yang berlaku dalam sidang media ataupun melalui laporan media.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran maka apa tindakan yang perlu disusuli itu kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN