JASIN: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menolak permohonan peletakan jawatan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan keperluan pentadbiran negeri serta peranan penting yang dimainkan oleh Muhamad Akmal dalam portfolio berkenaan.
“Permohonan peletakan jawatan telah dikemukakan beliau namun saya membuat keputusan untuk menolaknya dan beliau akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena pengumuman Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Jus Fasa II di Selandar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ab. Rauf menegaskan bahawa kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan terletak di bawah bidang kuasa Ketua Menteri.
“Dalam hal ini, saya telah membuat keputusan agar beliau kekal meneruskan tanggungjawab sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Dr. Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), Januari lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Ab. Rauf sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik negeri.
Sebelum ini, tindakan Muhamad Akmal mengemukakan peletakan jawatan dilihat sebagai satu langkah mengejutkan, namun keputusan Ketua Menteri itu dijangka meredakan keadaan dan memastikan kesinambungan pentadbiran negeri tidak terjejas.-UTUSAN










