GEORGE TOWN: Penganjuran majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri berhampiran sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bagan Ajam, Butterworth yang dijadual pada 11 April ini terpaksa dibatalkan dan ditukar kepada majlis jamuan perpaduan.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan pembatalan program asal yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu susulan aduan yang diterima berkaitan kekeliruan poster penganjuran majlis tersebut.
“Sambutan Aidilfitri merupakan aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang tertakluk kepada kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Sehubungan itu, pihak penganjur telah akur dengan arahan JHEAIPP dan membatalkan majlis rumah terbuka berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Persatuan Thean Hock Keong yang dikatakan mahu menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 pada 11 April ini di kawasan tanah lapang hadapan Thean Hock Keong di Bagan Ajam, Butterworth.
Meskipun masih di peringkat cadangan, poster yang dikeluarkan bagi tujuan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan penganjuran tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, sebagai alternatif, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang bersetuju untuk menganjurkan Majlis Jamuan Perpaduan bersama penduduk setempat di Dewan Panorama Bagan Ajam pada pukul 8 malam, 11 April ini.
Katanya, penganjuran majlis tersebut kini diselaraskan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang.
“Semua urusan berkaitan majlis perpaduan ini diserahkan kepada jabatan berkenaan selaras dengan bidang kuasa mereka dalam mengendalikan program berteraskan integrasi nasional,” katanya.-UTUSAN










