‘Benteng’ hadapi Monsun Timur Laut - Utusan Malaysia

‘Benteng’ hadapi Monsun Timur Laut

SEORANG penduduk membina penghadang menggunakan pelepah kelapa, di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lebih 20 keluarga di pesisir Pantai Pulau Kundur di sini mula memasang ‘benteng’ menggunakan pelepah kelapa bagi mengelak rumah mereka rosak dibadai ribut sepanjang musim tengkujuh ini.

Kebiasaannya, pelepah kelapa itu akan dipasang sebagai penghadang sepanjang mereka berdepan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku mulai November hingga Mac pada setiap tahun.

Penduduk, Mek Jah Yaakub, 60, memberitahu Utusan Malaysia, setiap kali musim tengkujuh tiba, suaminya Isa Hassan, 63, bersama anak dan menantu akan bergotong-royong memasang penghadang pelepah kelapa tersebut.

 

 

NIK Abdul Aziz menghabiskan masa membaiki pukat kerana tidak boleh keluar ke laut berikutan musim tengkujuh. – UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Kalau tidak dipasang penghadang pelepah kelapa ini, bumbung rumah kami akan mudah tercabut diterbangkan angin kuat.

“Dengan adanya penghadang, kerosakan bumbung rumah dapat dikurangkan, tetapi ia hanya mampu bertahan kira-kira tiga bulan sebelum mereput,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Kundor, di sini.

Sementara itu, nelayan Nik Abdul Aziz Mamat,67, berkata, sebagai penduduk pesisir pantai yang saban tahun berdepan bencana alam sama, mereka sentiasa membuat persiapan rapi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, selain angin kencang yang menerbangkan bumbung rumah, mereka juga diuji dengan fenomena air pasang serta ombak besar yang mampu menghanyutkan apa sahaja objek yang dihempasnya.

“Di samping pasang penghadang pelepah kelapa, keluarga saya buat persiapan rapi dengan menyimpan barangan berharga dan peralatan elektrik di tempat selamat.

“Jika angin kencang ketika air pasang, ombak besar setinggi dua meter akan melepasi benteng menyebabkan air laut memenuhi rumah kami. Keadaan itu berlarutan kira-kira dua atau tiga jam sebelum air kembali surut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, lebih 1,000 anggotanya dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir.

“Saya menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan pesisir pantai agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca. Mereka perlu berwaspada setiap kali berlaku pertembungan air pasang besar.

“Setakat ini, semua agensi penyelamat di negeri ini melakukan pemantauan di lokasi berisiko terutama pesisir pantai dan lembangan sungai berhampiran,” ujarnya,- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN