PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengadakan perbincangan awal bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pimpinan Melayu daripada pelbagai pihak sebelum ini mendesak agar parti Melayu duduk semeja bagi membincangkan isu perpaduan orang Melayu.
Katanya, isu semasa melibatkan institusi raja, pelantikan menteri yang membimbangkan, isu agama Islam dan hak istimewa Melayu kini banyak dipersoalkan.
“Keadaan ini memerlukan muafakat penyatuan ummah bagi menjamin kestabilan politik negara.
“Pas yakin semua pihak sedar mengenai isu ini. Justeru, satu perbincangan dan muafakat politik perlu dimulakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk mewujudkan semula MN boleh diteruskan jika UMNO memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Cadangan mewujudkan semula MN timbul susulan kemelut politik yang melanda Perlis membabitkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN Pas didakwa mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyatakan hilang kepercayaan kepada Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Pas kemudian menghentikan keahlian ADUN Chuping, Saad Seman dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) serta ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim serta merta.
Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa kelmarin.










