Belum ada kata putus parti mana bertanding kerusi Mambong - Utusan Malaysia

Belum ada kata putus parti mana bertanding kerusi Mambong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih belum memuktamadkan pengagihan beberapa kerusi dalam kalangan parti komponennya walaupun pilihan raya negeri (PRN) dijangka diadakan bulan depan.

Perkara ini diakui sendiri oleh Ketua Menteri merangkap pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Pembahagian 82 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bukanlah masalah besar dan dapat diselesai dalam perbincangan kelak,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai kedudukan tiga kerusi, iaitu Opar, Mambong dan Bawang Assan, iaitu tiga kerusi tradisi SUPP, tetapi ketiga-tiga penyandang kerusi, iaitu Datuk Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong) dan Datuk Seri Wong Soon Koh masing-masing sudah keluar meninggal SUPP untuk menubuhkan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Abang Johari ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan stesen Petros di Bandar MJC, Batu Kawa, hari ini.  Pada majlis itu beliau turut diberi taklimat  mengenai Stesen Mutifuel Petros oleh Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain.

Dr Jerip bagaimanapun keluar daripada PSB tahun lalu untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kepada soalan lain berhubung calon parti komponen yang akan diletak bertanding di kerusi Mambong, Abang Johari berkata perkara itu juga akan dibincangkan nanti dan keputusan akan dibuat dalam perbincangan itu.

Ketika ditanya apakah pemilihan calon GPS dibuat berdasarkan parti atau personaliti beliau berkata,  perkara itu juga akan diputuskan dalam perbincangan antara empat parti komponen.

GPS akan bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN akan datang. Pada PRN ke-12 Barisan Nasional (BN) menang 72 kerusi, tetapi keempat-empat parti (PBB, SUPP), PRS dan PDP keluar meninggalkan BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dan menubuhkan GPS.

Setakat hari ini, masih belum ada keputusan dibuat berhubung parti komponen daripada GPS yang akan meletakkan calonnya di kerusi Mambong.

Mambong adalah antara kerusi yang menjadi rebutan antara dua komponen parti dalam GPS, iaitu SUPP dan PBB selain Opar dan Bawang Assan.

Sementara itu, seorang anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP memberitahu Utusan Malaysia kecuali kerusi Mambong, semua kerusi lain sudah dimuktamadkan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN