SHAH ALAM: Golongan wanita di negara ini perlu merebut peluang disediakan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2022 termasuk peruntukan diumumkan melalui pelbagai agensi melibatkan keusahawanan.
Segala peluang yang diberikan itu disifatkan sebagai komitmen kerajaan bagi memperkasa wanita dan melibatkan golongan itu untuk berperanan dalam membina semula ekonomi termasuk mewajibkan pelantikan seorang wanita dalam syarikat penyenaraian awam.
Pengarah Operasi Baituljannah, Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata, golongan wanita di negara ini bersedia maju dengan penglibatan sebagai pengurusan dan pentadbiran tertinggi di sesebuah organisasi.
“Saya amat menyokong dan gembira dengan cadangan Belanjawan 2022 yang mana kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.
“Penyediaan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita dilihat sebagai komitmen kerajaan yang mahukan wanita Malaysia serius dan fokus melibatkan diri dalam sektor ekonomi. Ini suatu rancangan bajet yang baik dan harus direbut oleh wanita kerana program ini dijangka boleh menggerakkan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang memperuntukkan perbelanjaan kerajaan tertinggi bagi tahun hadapan iaitu RM332.1 bilion.
Daripada peruntukan itu, pelbagai inisiatif melibatkan wanita seperti menggalakkan golongan itu kembali bekerja atau terlibat dalam bidang keusahawanan menerusi kemudahan kepada majikan, penguatkuasaan undang-undang dan pemberian peruntukan kepada Yayasan Kepimpinan Wanita.
Justeru, Wan Nuradila Huda mengajak golongan wanita di negara ini mencontohi beberapa pemimpin dalam sektor awam dan swasta yang melibatkan kumpulan itu termasuk bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama.
“Ramai wanita Malaysia mempunyai latar belakang tahap pendidikan yang tinggi dan ada juga kebanyakan wanita yang berpendidikan tinggi ini berpengalaman dalam pekerjaan level pengurusan yang boleh diketengahkan untuk dilantik sebagai pengarah syarikat senaraian awam.
“Idea lelaki dan idea wanita saling melengkapi dan boleh menghasilkan pengurusan dan produktiviti yang baik, sesuai dipraktik dan digunapakai oleh semua jantina. Justeru membawa keuntungan syarikat yang membawa kepada pembangunan ekonomi negara yang berganda,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










