KUANTAN: Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas 38 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah kira-kira RM1.28 juta, hari ini.
Tertuduh, Ng Siew Eng, 62 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siew Eng didakwa melakukan semua kesalahan itu antara pukul 8 pagi hingga 5 petang, dari bulan Julai hingga Oktober 2018 di Urban Environmental Industries Sdn. Bhd.
Tertuduh menyalahgunakan kedudukan di dalam syarikat milik majikannya dengan mengisukan cek syarikat ke atas nama ahli keluarga dengan nilai keseluruhan RM1,285,846.
Siew Eng didakwa mengeluarkan 38 keping cek bernilai diantara RM3,730 hingga RM110,036 atas nama diri sendiri, suami dan dua orang anaknya selain digunakan untuk membayar hutang kad kredit.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, manakala tertuduh diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan.
Dalam pada itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,600 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 Januari tahun depan.
Tertuduh yang ditemani ahli keluarganya membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah.-UTUSAN ONLINE










