Bantuan MOTAC bakal merancakkan industri pelancongan - Utusan Malaysia

Bantuan MOTAC bakal merancakkan industri pelancongan

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memberi bantuan inisiatif kepada penggiat industri pelancongan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 supaya dapat merancakkan semula industri itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan tersebut adalah tanda kementerian menghargai peranan dan kecekalan penggiat industri itu yang bertahan hampir dua tahun dan berharap bantuan itu akan memberi dorongan kepada mereka menjelang 2022.

Menurutnya, kementerian sentiasa bersama-sama pemain industri itu dalam mengharungi tempoh sukar, kementeriannya turut mengemukakan pelbagai cadangan dan pelan yang perlu dilaksanakan.

“Sebanyak empat segmen pelancongan yang dikawal selia oleh kementerian, menerima manfaat bantuan kewangan dan bukan kewangan dengan itu saya harap mereka akan merancakkan semula industri pelancongan.

“Bagi meringankan beban mereka, tujuh insentif bantuan kewangan berjumlah RM61 juta yang juga memberi manfaat kepada 29,286 penggiat industri. Kami jangka pada bulan ini, pengagihan tersebut selesai,” katanya semasa majlis penyampaian bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan di sini.

Terdahulu, majlis bantuan tersebut berlangsung di Langkawi buat kali pertama diikuti dengan siri kedua di Kuching, usaha itu diteruskan di Terengganu sebagai siri ketiga dan majlis yang berlansung di Kuala Lumpur adalah siri keempat.

Turut hadir penerima-penerima bantuan daripada Agensi Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB), Syarikat Malaysia My Second Home (MM2H), pemandu pelancong dan spa dan pusat urutan kaki.

Nancy berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.6 billion melalui Bajet 2022 dengan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, sebanyak RM85 juta bantuan khas akan diperuntukkan kepada lebih 25,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah kementerian.

“Peruntukan bantuan yang meningkat sebanyak 40 peratus akan membolehkan kementerian memberi inisiatif bantuan pada tahun hadapan sebaik sahaja peruntukan itu disalurkan yang dijangka pada awal 2022,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa adalah signifikan yang bermula pada 15 November lalu sebagai penanda aras untuk pembukaan sempadan negara dalam masa tiga bulan akan datang.

Jelasnya, perkembangan MyCEB iaitu sebuah agensi di bawah kementerian yang berjaya mendapatkan 21 acara perniagaan antarabangsa diadakan di negara mulai 2022 akan menyebabkan industri pelancongan kembali gemilang.

Sementara itu, penerima dan juga pemilik Divine Leisure Holiday Sdn. Bhd., Thomas Arokiam meluahkan rasa berterima kasih kepada kementerian selepas menerima bantuan tersebut kerana ia akan membantunya untuk kembali pulih.

“Dengan bantuan sebanyak RM3,000 saya dapat menguruskan utiliti syarikat seperti membayar sewa bangunan dan hutang yang belum dilangsaikan semenjak pandemik sebelum ini,” katanya selepas menerima bantuan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya