PUTRAJAYA: Perancangan bandar pada hari ini tidak lagi hanya menumpukan aspek struktural dan pembangunan infrastruktur semata-mata, malah ia perlu melihat keperluan penting aspek kemakmuran, mobiliti sosial dan daya tahan ekonomi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini termasuk mitigasi kemungkinan berlakunya kawasan bandar sebagai ‘epi-centres’ merebaknya wabak penyakit pada masa akan datang, mengambil pengajaran pandemik Covid-19.
Menurut beliau, perancangan bandar yang mengambil kira pengurusan risiko bencana dalam suasana pasca-pandemik, elemen ‘urban resiliency’ atau daya tahan bandar dalam aspek perumahan dan ruang awam wajar dijadikan keutamaan.
“Pada waktu ini, di peringkat global, ramai yang mula berbicara mengenai agenda perancangan bandar yang bersifat ‘pandemic-resilient city planning’ (perancangan bandar yang tahan pandemik).
“Antara prioriti saya pada masa ini ialah memperkasa Agenda Malaysia Berdaya Huni. Usaha kita menyusun kerangka dan indeks daya huni model Malaysia kita sendiri, mesti disegerakan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan 100 tahun profesion perancang bandar Malaysia (PBM) sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2021 Peringkat Kebangsaan, hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Reezal Merican berkata, Indeks Daya Huni GLobal yang diusahakan The Economist Intelligence Unit (EIU) tidak wajar menjadi model rujukan tunggal negara.
Katanya, jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNINets) yang dibangunkan PLANMalaysia boleh menjadi kerangka teras Indeks Daya Huni Malaysia yang baharu.
Jelas beliau, hasrat Perdana Menteri menzahirkan Mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan juga boleh dicerap sama dalam kerangka nilaian Indeks Daya Huni nanti.
Dalam pada itu, beliau berkata, Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang dilancarkan hari ini akan terus mendokong aspirasi pembangunan tiga RFN terdahulu dalam membentuk satu pelan pembangunan menyeluruh.
“Ia memberi penekanan kepada aspek perancangan keselamatan negara, peningkatan infrastruktur digital, pembangunan bercirikan pintar, negara ke arah neutral karbon, jaminan sekuriti makanan negara dan pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya huni,” katanya. – UTUSAN










