SUNGAI SIPUT: Kerajaan harus mempercepat kelulusan kertas kerja untuk kerja-kerja yang masih berbaki bagi Projek Kolam Takungan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dan menterjemahkannya sebagai kerja fizikal di kawasan Sungai Siput sebagai usaha mengekang kejadian banjir kilat di daerah itu daripada terus berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee berkata, beliau dan penduduk di situ semakin hilang sabar terhadap kelewatan menterjemahkan kerja-kerja pentadbiran kepada kerja-kerja fizikal di atas tanah di Sungai Siput bagi projek tebatan banjir.
“Kontraktor telah dilantik beberapa bulan lalu dan bersedia memulakan kerja, namun masih menunggu kelulusan akhir oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, Kementerian Kewangan meluluskan RM18 juta untuk projek MSMA bagi kerja-kerja menaik taraf sungai dan kolam di situ.
Namun, katanya, sehingga kini masih tiada kerja fizikal di atas tanah sehingga menyebabkan keresahan serta kemarahan rakyat setiap kali hujan lebat di Sungai Siput.
Jelasnya, tahun ini sahaja telah berlaku dua kali banjir kilat besar lebih kurang seminggu sebelum sambutan hari raya dan Deepavali, tidak termasuk beberapa kali lagi banjir kilat yang lain. – UTUSAN ONLINE










