JOHOR BAHRU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mendakwa cabaran dilontarkan UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Bersatu menarik sokongan mempunyai agenda yang tersendiri.
Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, hal itu kerana ada pihak cemburu dengan kejayaan Presiden Bersatu itu semasa menjadi Perdana Menteri yang kini membuahkan hasil.
“Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan Tan Sri Muhyiddin sepanjang tempoh menerajui kepemimpinan negara termasuk perancangan teliti dalam menangani pandemik Covid-19 sudah membuahkan hasilnya.
“Jadi, apakah Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Nur Jazlan Mohamed cemburu segala kejayaan dan pencapaian cemerlang menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin?
“Tindakan kedua-dua pemimpin UMNO itu jelas sekali mahu memburukkan kewibawaan serta kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin menerusi momokan kenyataan provokasi dan bersifat populis semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Shamsuddin memberitahu, sepatutnya kedua-dua pemimpin UMNO itu menjunjung titah Sultan Johor yang mahu kestabilan dan kemakmuran politik Johor terjamin.
“Armada Johor yakin rakyat boleh menilai dengan bijak pemimpin yang ikhlas memastikan keselamatan dan kehidupan rakyat terus terjaga seperti dikatakan Muhyiddin iaitu memastikan setiap meja di rumah rakyat sekurang-kurangnya ada makanan untuk dimakan.
“Sehubungan itu, Armada Johor menggesa rakyat untuk menolak pemimpin tamak dan gila kuasa yang memperjudikan rakyat demi kepentingan peribadi mereka sendiri,” katanya.
Tambah beliau, Armada Bersatu Johor sentiasa bersiap siaga dalam segala kemungkinan yang berlaku jika ada pemimpin UMNO yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan kemakmuran negeri Johor khususnya.
“Seluruh anak muda Johor juga akan memastikan segala perkara yang boleh mengganggu-gugat kemakmuran Negeri Johor akan ditentang habis-habisan,” tambahnya.