KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang berkaitan Pemberi Maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang menunjukkan terdapat kekurangan sama ada dalam pelaksanaan atau dalam peruntukan-peruntukan akta tersebut.
Di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta penjelasan secara terperinci cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan Pemberi Maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan sejauh mana keberkesanannya melindungi Pemberi Maklumat dalam kes-kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.
Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebuah Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan bagi menilai, mengkaji serta menetapkan parameter berdasarkan cadangan pindaan dan penambahbaikan yang telah diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“Tujuh isu yang berkaitan dengan Akta 711 telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan dalam proses penambahbaikan akta tersebut. Antaranya adalah definisi “Kelakuan tidak Wajar” di bawah Seksyen 2 Akta 711 didapati terlalu luas serta tidak jelas.
“Selain itu, akta itu juga tidak mengiktiraf mekanisme aduan dalaman yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi ‘bukan agensi penguat kuasa’ untuk diterima sebagai saluran pendedahan kelakuan tidak wajar yang sah dan diterima di bawah Akta 711,” jelasnya.
Tambah Wan Junaidi, tiada pengurusan secara berpusat atau pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab dalam memberi perlindungan kepada pemberi maklumat di Malaysia malah terdapat ketidakselarasan di antara Seksyen 6 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Seksyen 203A (1) dan (2) Kanun Keseksaan.
Seksyen 203A Kanun Keseksaan memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati mendedahkan mana-mana maklumat yang diperoleh olehnya sewaktu menjalankan tugas merupakan suatu kesalahan.
Namun, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membenarkan pendedahan sesuatu kelakuan tidak wajar yang diketahui sewaktu seseorang menjalankan tugas, sama ada oleh pegawai badan awam, atau badan swasta.
Wan Junaidi menjelaskan tujuh isu itu masih dalam kajian dan penelitian Jawatankuasa Kerja Pindaan Akta 711.
“Hasil kajian dan parameter bagi cadangan penambahbaikan Akta 711 dijadual akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Disember 2021. Kerajaan amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung Akta 711.
“Ini bagi memastikan cadangan pindaan Akta 711 ini dapat menambahbaik pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat dan seterusnya mengekang kes salah laku dan rasuah terutamanya bagi kes-kes berprofil tinggi,” katanya. – UTUSAN










