Penduduk berang bakar mercun pukul 1 pagi, polis kesan suspek

Penduduk berang bakar mercun pukul 1 pagi, polis kesan suspek

Bakar mercun
TANGKAP layar daripada potongan video tular memaparkan kejadian pembakaran mercun yang berlaku pada awal hari dekat Setia Alam Community Trail, Setia Alam, di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis memburu individu yang membakar mercun ketika sesi penggambaran pengantin pada awal pagi dekat kawasan tempat letak kereta di Setia Alam Community Trail, Setia Alam di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian tular itu mengganggu ketenteraman awam apabila mercun dianggarkan 50 hingga 100 das dibakar.

Katanya, aktiviti itu dilakukan menerusi tiga siri pada 26 April kira-kira pukul 1.05 pagi dan kembali berulang pada keesokannya kira-kira pukul 2.11 pagi.

“Satu rakaman video berdurasi 1 minit 50 saat juga tular dalam media sosial mengenai kejadian sesi photoshoot pengantin yang membakar mercun sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

“Satu laporan polis diterima pada 29 April selepas video tersebut tular dalam media sosial dan mendapat perhatian orang ramai. Polis mengesahkan kejadian berlaku di kawasan parkir awam Setia Alam Community Trail,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Selain itu kes turut disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM 10,000.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek kejadian sedang giat dijalankan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 0192522905 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN