KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneliti cadangan mewujudkan rekod pelaku susulan kebimbangan terhadap kes keganasan rumah tangga yang berulang.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kes berulang yang dimaksudkan ialah keadaan apabila mangsa masih berdepan penderaan walaupun laporan pernah dibuat, atau keganasan berlaku berulang kali dalam hubungan yang sama.
Katanya, kementerian turut melihat keperluan mempercepat penguatkuasaan dan mengetatkan tindakan sedia ada.
“Kita melihat bagaimana cara untuk memperketat dan mempercepat penguatkuasaan.
“Kita juga memohon supaya perkara seperti ini dijadikan satu rekod bagi membantu wanita,” katanya pada sidang media khas mengenai keganasan rumah tangga di Intercontinental Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut beliau, kes keganasan rumah tangga terus membimbangkan dengan 7,391 kes direkodkan pada 2025 berbanding 7,116 kes pada 2024 dan 5,507 kes pada 2023.
Katanya, kategori mangsa paling banyak dilaporkan melibatkan isteri.
Selain itu, beliau berkata antara cabaran utama dalam menangani kes sedemikian ialah apabila mangsa menarik balik laporan kerana takut, diugut atau berdepan masalah kewangan.
“Ada mangsa buat laporan, kemudian tarik balik. Itu menyukarkan usaha membantu mereka keluar daripada situasi penderaan,” katanya.
Menurut beliau, perlindungan terhadap mangsa tidak boleh hanya tertumpu selepas laporan dibuat, sebaliknya perlu disokong dengan bantuan kebajikan, kaunseling dan tempat perlindungan.
Beliau berkata talian 1599 dan rumah perlindungan sedia ada perlu dimanfaatkan mangsa yang memerlukan bantuan segera.
“Jangan takut, kami ada di sini untuk membantu,” katanya.
“Usaha ini penting bagi memastikan intervensi terhadap keganasan rumah tangga tidak hanya bersifat reaktif, sebaliknya lebih menyeluruh dari aspek pencegahan, perlindungan dan penguatkuasaan,” katanya.-UTUSAN










