Jangan takut jadi isteri derhaka - Fadhlina

Jangan takut jadi isteri derhaka – Fadhlina

FADHLINA Sidek memuat naik gambar di Facebook sewaktu mengendalikan kes keganasan rumahtangga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Wanita yang menderita di dalam rumah tangga akibat keganasan oleh suami perlu membebaskan diri mereka serta tidak takut digelar sebagai isteri derhaka atau ‘nusyuz’

Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek berkata, beliau terkesan dengan kes-kes keganasan rumah tangga khususnya yang berlaku mutakhir ini.

Beliau berkata, keganasan yang berlaku terhadap wanita memberikan gambar bahawa kaum hawa berterusan menjadi mangsa walaupun di dalam rumah sendiri yang disangka sebagai tempat paling selamat.

“Jangan takut untuk meninggalkan rumah yang tidak selamat, jangan takut dengan ugutan nusyuz atau isteri derhaka.

“Fokus kepada keselamatan diri dan anak-anak, dapatkan perlindungan sementara. Because you matter,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, mangsa keganasan rumah tangga perlu pastikan membuat laporan polis dan meminta pengawai penyiasat terus membuka fail siasatan selain memohon perintah perlindungan sementara.

Kata beliau, mangsa juga boleh juga pergi ke One Stop Crisis Centre di hospital-hospital utama yang mempunyai servis perkhidmatan polis, rawatan kecemasan dan sokongan psikososial.

“Laporan perubatan di hospital kerajaan. Pastikan anda mendapat laporan perubatan penuh. Laporkan juga jika ada kecederaan lama atau mengalami tanda depresi, anxiety atau kemurungan.

“Keluar dari rumah kelamin dan cari tempat perlindungan sementara dan failkan kes yang sesuai. Jika fasakh atau takliq, semua laporan tersebut sangat penting jika anda tiada saksi.

“Pastikan semua dokumen penting, kad bank serta sedikit pakaian dan makanan, kunci rumah dan lain-lain barang penting berada dalam satu beg khas yang boleh dicapai untuk ke tempat perlindungan sementara,” katanya.

Tambahnya, mangsa juga perlu pastikan mempunyai nombor telefon rakan-rakan atau ahli keluarga yang boleh menemani anda untuk semua proses.

“Dalam keadaan krisis, fikiran dan emosi anda tidak menentu, ada rasa takut dan bimbang. Ada rasa keliru dan sedih. Dapatkan sokongan psikososial segera. Jangan berlengah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa ahli keluarga dan rakan mangsa untuk memainkan peranan dalam membantu.

“Ini paling penting. Bantu dan sokong sepenuhnya mangsa keganasan rumahtangga.

“Khas untuk para wali, ketika anak perempuan kita dinikahkan. Pasangan mereka telah bertaklik bahawa suami mereka akan bermuasyarah dengan mereka secara maaruf. Malah ada janji untuk tidak melakukan dharar kepada tubuh badan mereka. Semua wali mendengar taklik ini.

“Jangan biarkan anak perempuan kita balik ke rumah dan dikembalikan sebagai jasad yang tidak bernyawa. Sebagai wali, lindungi anak perempuan kita dengan segala daya juang yang ada,” katanya.

_tamat_

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN