JOHOR BAHRU: Seorang ah long yang ditahan kerana terlibat mengugut Timbalan Pengerusi MCA Kulai, Chua Jian Boon bulan lalu akan dituduh di Mahkamah Kulai esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 2.45 petang di Taman Abad, di sini pada 31 Oktober lalu.
Beliau berkata, sebelum itu, Bahagian D7 Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan tiga lelaki warga tempatan pada 27 Oktober lalu di kawasan Permas Jaya dan Taman Setia Indah, di sini.
“Dalam serbuan antara 11.45 malam hingga 1 pagi itu, polis menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 18 hingga 34 tahun.
“Hasil daripada siasatan itu, membawa kepada penahanan dalang sindiket ah long di Taman Abad pada hujung bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 7 Oktober lalu, kediaman Jian Boon yang juga Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia disimbah cat oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian pada pukul 11.15 malam.
Katanya, kediaman yang menjadi sasaran itu beralamat di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai.
Dua buah kereta dan pagar kediaman mangsa disimbah cat merah selain turut ditinggalkan sekeping nota ugutan.
Pada 23 September lalu, Jian Boon memaklumkan pihaknya menerima ugutan melalui panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan seorang wanita yang menjadi mangsa sindiket ah long.
Katanya, ugutan tersebut dibuat menerusi panggilan telefon kepada bapanya yang berusia 58 tahun.
Ayob Khan berkata, semakan rekod jenayah mendapati dua daripada suspek berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dadah.
“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek berusia 34 tahun itu polis turut menemui beberapa peralatan termasuk dua pedang samurai dan empat keping nombor pendaftaran kenderaan.
“Siasatan kes kini telah dilengkapkan kertas siasatan dan suspek dipercayai dalang ini akan dituduh di mahkamah esok untuk kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya
Beliau berkata, tiga lagi suspek yang ditahan lebih awal dibebaskan dengan jaminan polis.
Tambahnya, penahanan kesemua suspek juga dipercayai membantu polis dalam menyelesaikan sebanyak lapan kes berkaitan ugutan jenayah dan khianat dengan simbah cat.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen dengan menawarkan wang tunai daripada RM5l00 hingga RM15,000,” katanya. – UTUSAN










