54 individu dikompaun di pusat hiburan - Utusan Malaysia

54 individu dikompaun di pusat hiburan

RUPIAH ABD WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 54 individu termasuk seorang penjaga premis dikenakan kompaun berjumlah RM290,000 dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan sekitar Taman Sutera Utama, Skudai, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, dalam serbuan pukul 2.29 pagi itu, polis menahan seramai 53 pelanggan iaitu 30 lelaki dan 23 wanita yang sedang leka berhibur.

Beliau berkata, ketika sepasukan polis Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU memasuki premis, didapati muzik dipasang dengan kuat.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati pusat hiburan tersebut telah beroperasi tanpa lesen dan pengurus premis juga gagal mengemukakan lesen hiburan.

“Dalam serbuan itu, pelanggan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Tindakan kompaun dikenakan terhadap kesemua individu termasuk penjaga premis berusia antara 17 hingga 45 tahun selain turut merampas peralatan muzik elektronik yang digunakan untuk hiburan.

“Pengurus premis dikenakan kompaun berjumlah RM25,000 manakala 53 pelanggan dikompaun RM5,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor yang boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya