SEPANG: Polis menahan lima individu yang disyaki terlibat dalam kes simbah cat dan bakar kenderaan seorang pegawai kastam di Taman Pandamaran Klang, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek yang berusia 30-an itu ditahan di sekitar Klang.
“Tindakan khianat itu dipercayai dilakukan berkaitan tugas-tugas pegawai kastam berkenaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebuah kereta jenis utiliti sukan (SUV) milik seorang pegawai kastam yang musnah terbakar di sebuah pusat cuci kereta selepas disimbah cat di sebuah persimpangan lampu isyarat.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa berusia 50-an membuat laporan berkaitan kenderaan jenis Proton X70 miliknya disimbah cat.
Kenderaan tersebut kemudian didapati terbakar kira-kira jam 11 pagi semalam.
Sementara itu, dalam kes tikam ah long di Klang, Arjunaidi berkata, dendam lama melibatkan dua kongsi gelap dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang ah long dalam kejadian di sebuah kopitiam di Bukit Tinggi Klang pada 6 November lalu.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan dipercayai merupakan Gang Kongsi Gelap 24 Cina.
“Soal siasat yang dijalankan ke atas suspek-suspek yang ditahan telah berjaya mengumpulkan maklumat dan bukti berkaitan kes itu.
“Suspek telah menunjukkan lokasi pembakaran pakaian dan senjata yang dibuang dari Jambatan Kota ke Sungai Klang yang digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya.










