GEORGETOWN: Penduduk di sembilan buah kediaman di Kampung Jalan Perak dekat Jalan P. Ramlee di sini terpaksa meredah banjir hampir paras pinggang selama tempoh lima jam berikutan hujan lebat sejam malam tadi.
Kejadian banjir berlaku seawal pukul 4 pagi tadi bagaimanapun dilaporkan surut sekitar pukul 9 pagi.
Rata-rata penduduk kini sedang membersihkan kediaman yang terjejas biarpun hujan renyai masih melanda di beberapa kawasan terlibat di daerah itu.
Ketika ini, keadaan air di beberapa jalan utama di Jalan Makloom, Jalan Kampung Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee dan Sungai Pinang dilaporkan semakin surut.
Seorang penduduk, Mohd. Ismail Saad, 59, berkata, banjir kilat berlaku setelah hujan lebat tanpa henti sejak pukul 8.30 malam tadi.
“Keadaan air sungai yang terletak di belakang rumah melimpah keluar mengakibatkan air memasuki sehingga ke dalam rumah.
“Ketika itu, air mula naik hingga paras pinggang dan saya segera membawa ibu yang dalam keadaan terlantar sakit naik ke tingkat atas.
“Kami terpaksa tinggal dalam keadaan rumah ditenggelami air selama hampir lima jam sebelum air surut pukul 9 pagi tadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, ini merupakan kejadian pertama pada tahun ini dan terdapat projek pembesaran parit di hadapan rumahnya.










