PETALING JAYA: Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) memberi manfaat kepada 3,811 pesawah pada sesi satu tahun ini melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,777.7 hektar.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, program itu adalah salah satu inisiatif kementeriannya ke arah meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara melalui kerjasama strategik dengan pihak swasta terutama pemain industri padi dan beras.
“Angka ini adalah salah satu kejayaan Program SMART SBB Sesi 1/2021 lalu yang disertai 11 buah syarikat peneraju dalam membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 300,000 hektar secara berperingkat.
“Bilangan penglibatan dan hasil pendapatan pesawah melebihi sasaran ditetapkan iaitu sebanyak 280 peratus,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Smart SBB antara kerajaan dan tujuh syarikat peneraju sesi 2/2021.
Ronald Kiandee berkata, program SMART SBB adalah hala tuju baharu industri padi dan beras negara yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi meningkatkan produktiviti dalam mencapai tahap sara diri (SSL) beras yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Kata beliau, kementerianya akan mengandakan usaha bagi menarik lebih ramai pelabur swasta.
“Tujuh syarikat peneraju bersetuju menandatangani komitmen dan kerjasama strategik dalam program Smart SBB sesi 2/2021 iatu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Satu Cita Sdn. Bhd., PTG Builder Services Sdn. Bhd., Sermaju Agro Sdn. Bhd., Panji Tulin Enterprise dan Advansia (Sarawak),” katanya. – UTUSAN ONLINE










