PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung perbuatan khianat selepas dipercayai menendang sebuah kereta di kaunter bayaran Tol Kajang Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, dalam video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja swasta itu ditahan di sekitar Kajang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 4 petang, semalam apabila video berdurasi satu minit 26 saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial hari ini.
“Polis juga sudah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang pemandu e-hailing berusia 65 tahun yang memandu Proton Saga ketika kejadian.
“Akibat daripada kejadian berkenaan, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Katanya, punca dan motif kejadian itu masih dalam siasatan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa, mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah demi keselamatan bersama,” katanya.
Terdahulu video memaparkan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta sambil dilihat memarahi pemandu kereta itu di tol berkenaan tular di media sosial. – UTUSAN










